Wednesday, 8 February 2012

Senaman Kuatkan Lantai Pelvik


SEPANJANG lapan atau sembilan jam bekerja, berapa kali anda ke tandas? Sekali, dua atau tidak pergi langsung? Tahukah anda, dalam tempoh itu kita sepatutnya buang air kecil sebanyak tiga hingga empat kali atau sekali bagi setiap dua hingga tiga jam.

Ini bermakna kita perlu buang air kecil lapan kali sehari semalam dan tidak melebihi sekali selepas masuk tidur.

Namun, ada orang yang buang air kecil beberapa belas kali sehari dan lebih teruk jika ‘bocor’ sebelum sempat sampai ke tandas.

Ada juga yang terkencing sedikit apabila batuk, bersin, ketawa atau ketika bangun daripada duduk. Keadaan ini berlaku akibat masalah pundi kencing lemah atau inkontinens.





Satu daripada empat wanita di Malaysia berumur 35 tahun ke atas mengalami masalah pundi kencing lemah. Perkara ini bukan saja menyebabkan wanita enggan terbabit dalam kegiatan masyarakat, malah tidak mahu keluar rumah kerana malu. Bahkan jika mahu ke mana-mana, mereka pastikan tempat bakal dikunjungi ada tandas awam yang bersih.

Masalah inkontinens menyebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal kebocoran air kencing dan sering mengalami desakan memuncak untuk pergi ke tandas, kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Seri Suniza Sufian.

Meskipun ia biasanya berlaku pada orang berumur, kajian menunjukkan 10 hingga 30 peratus masalah ini dilaporkan dialami wanita dalam lingkungan usia 15 hingga 64 tahun.

Kajian ke atas 11 negara di Asia mendapati, kadar kelaziman masalah pundi kencing lemah di kalangan wanita dua kali lebih tinggi berbanding lelaki.

Di Malaysia, soal selidik berasingan yang dijalankan di beberapa hospital mendapati, 30 hingga 40 peratus pesakit wanita mengalami masalah inkontinens iaitu Hospital Kuala Lumpur (33 peratus), Hospital Pulau Pinang (47 peratus) dan Pusat Kesihatan Hulu Terengganu (31 peratus).

Malah, soal selidik rambang ke atas 250 wanita berumur 45 tahun ke atas mendapati, 42 peratus mengakui alami masalah ini.

Apabila masalah ini berlaku, ramai wanita kurang minum air dan mengelak mengambil makanan mengandungi banyak air. Mereka berpendapat, dengan kurang minum air, masalah ini berkurang. Bagaimanapun, ia tidak menyelesaikan masalah ini, sebaliknya menyebabkan air kencing menjadi lebih pekat.

Air kencing pekat yang berwarna oren menandakan badan kita mengalami dehidrasi atau kekurangan air. Ia bukan petanda baik kerana kekurangan air menjejaskan fungsi organ dalam badan.

Ia juga menyebabkan pelbagai masalah lain kerana kita berasa cepat letih, mengantuk, sukar memberi tumpuan dan kurang bermaya.

Keadaan inkontinens terjadi apabila wujud masalah pada otot dan saraf yang mengawal dan membebaskan air kencing. Ia boleh berlaku kerana otot lantai pelvik menjadi lemah (umumnya disebabkan kelahiran anak) dan tidak cukup kuat untuk mengawal air kencing daripada terkeluar.

Kelemahan otot lantai pelvis mungkin juga disebabkan faktor kesihatan, obesiti, sembelit, kesan sampingan pelbagai ubat-ubatan dan menopaus.

Pundi kencing bertindak sebagai tempat menyimpan air kencing dan boleh mengembang untuk menampung sehingga 350 hingga 550 militer air kencing.

Kita biasanya terasa hendak buang air kecil apabila kandungan pundi kencing lebih kurang 150 hingga 200 mililiter.

Desakan buang air kecil meningkat (normal) apabila isi pundi kencing bertambah kepada 250 hingga 300 mililiter dan apabila ia mencapai 500 mililiter, pundi kencing perlu dikosongkan segera.

Proses pembuangan air kencing membabitkan dua peringkat; iaitu pengisian dan penyimpanan air kencing dan peringkat kedua ialah pengosongan pundi kencing.

Ketika pembuangan air kencing, otot yang ‘memegang’ pundi (dipanggil otot sphincter) dalam keadaan rehat, manakala otot pundi kencing pula mengecut supaya air kencing boleh ditolak keluar memasuki salur kencing (uretra).

Untuk betul-betul mengosongkan pundi kencing, otot pundi dan spinchter perlu bertindak serentak. Kegagalan pada mana-mana bahagian, sama ada pada pundi, otot spinchter atau saraf, menyebabkan masalah ini.

Bagi orang yang ada masalah lemah pundi kencing, kebocoran boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun pundi kencing tidak penuh.



Punca

Dr Seri Suniza berkata, beberapa perkara boleh merangsang masalah inkontinens iaitu:

# Otot pundi kencing terlalu aktif

# Otot pelvik (yang menyokong pundi kencing, rahim dan rektum) lemah

# Gangguan sistem saraf

Punca kelemahan pundi kencing boleh dibahagikan kepada dua peringkat, iaitu jangka pendek dan jangka panjang. Punca jangka pendek termasuk:

# Jangkitan saluran kencing (sangat lazim)

# Jangkitan atau keradangan vagina

# Sembelit

# Kehamilan dan melahirkan anak

Manakala punca jangka panjang:

# Selepas menopaus (akibat perubahan hormon)

# Berlaku perubahan akibat penuaan

# Pernah menjalani pembedahan atau kecederaan pelvik

# Menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, strok, Alzheimer atau Parkinson

# Kecacatan sejak lahir

Masalah inkontinens bukan saja memalukan, tetapi membuatkan seseorang berasa rendah diri, tidak selesa, tertekan dan murung, malah menjadi isu penting dalam aspek kebersihan, terutama bagi wanita beragama Islam untuk beribadat.

Ia juga mampu memberi kesan psikologi lebih besar kepada wanita sehingga ada yang perlu mengubah gaya hidup dan mengelak terbabit dalam kegiatan sosial kerana bimbang dan malu jika masalah mereka diketahui.

Ramai wanita dalam kajian global tidak membincangkan masalah mereka dengan orang lain, termasuk suami, kerana ia dianggap memalukan dan sebahagian daripada proses semula jadi penuaan.

Namun, ia tidak harus menjadi penghalang untuk menjalani kehidupan sebaik dan seaktif seperti orang lain kerana banyak kaedah boleh membantu mengatasi masalah ini.

“Masalah ini boleh menjejaskan kualiti hidup dan membuatkan seseorang itu berasa tertekan. Aktiviti menjadi terhad dan ke mana saja mereka pergi, mereka perlu tahu kedudukan tandas. Mereka juga keberatan bercampur dengan masyarakat kerana malu masalah itu diketahui dan bimbang jika ‘berbau’.

“Oleh kerana pundi kencing dan vagina terletak berdekatan, masalah ini turut memberi kesan terhadap hubungan seks. Ada wanita mengadu suami menolak untuk bersama. Malah, ada yang terpaksa merelakan suami mencari wanita lain.

“Pada masa sama, inkontinens boleh menyebabkan wanita mengalami banyak masalah lain seperti jangkitan, ruam, gatal, tidak selesa dan kadangkala sakit kerana kawasan berkenaan sentiasa lembab,” katanya.

Jenis

Inkontinens boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:

# Tekanan — Pelepasan beberapa titik air kencing sewaktu pergerakan fizikal (batuk, bersin, bersenam)

# Desakan — Pelepasan air kencing pada kadar yang banyak di luar jangkaan, termasuk sewaktu tidur

# Pundi kencing terlalu aktif — Kerap dan tidak dapat menahan air kencing, sama ada dengan atau tanpa kawalan

# Batasan fungsi — Kencing yang tidak teratur disebabkan kecacatan fizikal, halangan luaran atau masalah pemikiran atau berkomunikasi yang menghalang seseorang dari sampai ke tandas

# Melimpah — Pelepasan kecil air kencing di luar jangkaan kerana pundi kencing penuh

# Gabungan — Biasanya berlaku disebabkan tekanan dan kegagalan mengawal kencing

# Tidak tetap — Pelepasan yang berlaku secara sementara (disebabkan jangkitan, pengambilan ubatan yang baru, demam dan batuk)

Kumpulan berisiko

Menurut Dr Seri Suniza, antara kumpulan yang berisiko mengalami masalah ini ialah:

# Wanita

# Melahirkan anak, terutama jika proses bersalin mengambil masa lama, bayi dilahirkan besar atau kerap bersalin

# Obesiti

Rawatan

Meskipun inkontinens bukan penyakit, ia perlu dirawat kerana ia gejala akibat masalah kesihatan lain. Bagaimanapun, hanya satu pertiga datang mendapatkan rawatan kerana 50 peratus mendakwa masalah itu tidak menjejaskan hidup mereka, 30 peratus berkata boleh bertahan dengan keadaan itu dan tiga peratus lagi mengakui berasa terganggu.

Antara alasan diberi ialah ramai berpendapat ia adalah masalah kecil, berasa tidak perlu mendapatkan rawatan kerana ia bukan penyakit, malu, mahu mencuba kaedah rawatan alternatif terlebih dulu, menganggapnya sebahagian daripada proses penuaan atau tidak tahu di mana hendak mendapatkan rawatan.

Kata Dr Seri Suniza, kaedah rawatan awal ialah mengubah gaya hidup iaitu:

# Jaga pemakanan — Kurangkan berat badan jika anda gemuk

# Kurangkan pemakaian korset (kerana ia akan menekan lantai pelvik ke bawah)

# Pakai baju longgar

# Elak pengambilan sesetengah jenis ubat dan minuman mengandungi kafein (ia bersifat diuretik yang merangsang pembuangan air kecil)

# Kurangkan aktiviti fizikal hinggalah masalah dapat dikawal

“Buat diari buang air kecil bagi membolehkan doktor meneliti masalah anda. Dalam diari ini catatkan berapa banyak air anda minum, jenis minuman, berapa kerap anda buang air kecil dan berapa banyak air kencing anda. Jangan tahan kencing terlalu lama, jadikan amalan untuk pergi ke tandas setiap dua hingga tiga jam,” katanya.

Anda juga boleh belajar untuk melakukan senaman menguatkan lantai pelvik dan otot pada pundi kencing iaitu senaman Kegel atau kemut. Walaupun ia boleh dilakukan pada bila-bila masa, 60 peratus wanita melakukan senaman ini dengan cara betul dan 30 peratus pula mengakibatkan keadaan lantai pelvik menjadi lebih buruk.

Pakar Fisioterapi Pusat Perubatan Prince Court, Neng Shahidah Sabullah, menggariskan cara yang betul untuk melakukan senaman ini iaitu bernafas seperti biasa ketika anda ‘mengecutkan’ otot. Tarik nafas dan ‘kecutkan’ otot faraj ketika anda menghembuskan nafas dan bernafas seperti biasa. Jika anda menahan nafas, ia menekan lantai pelvik ke bawah.

“Senaman ini sama seperti ketika kita menahan kencing. Ia boleh dilakukan di atas katil (sebaik bangun daripada tidur), sambil duduk atau ketika anda berdiri. Sebaik-baiknya buat 10 hingga 20 kali kali bagi satu sesi senaman dan ulang dua kali sehari atau seberapa kerap yang anda mahu. Bagi wanita yang melahirkan anak, sebaik-baiknya buat empat sesi setiap hari.

“Jika sudah bersenam dan melakukan perubahan gaya hidup tetapi masih berlaku masalah kebocoran, segera berjumpa doktor,” katanya.

No comments:

Post a Comment