Beberapa ciri yang perlu diambil tahu oleh pembeli dan pengguna dalam membuat pilihan untuk membeli perabot antaranya;
Kekuatan
Berapa kadar kegunaan sofa anda dalam ruang tamu. Adakah sofa yang digunakan untuk kegunaan keluarga berehat dan menonton TV atau sofa yang ada tidak diguna langsung.
Jika digunakan selalu adalah baik jika sofa yang dibeli mempunyai ciri penting iaitu sofa berkenaan mestilah kuat untuk menerima apa juga bebanan ke atasnya dan ukuran sesuai yang membolehkan diduduki pelbagai saiz dan kumpulan manusia.
Gaya
Seterusnya untuk memilih sofa yang bertindak sebagai pelengkap ruang dan dapat memenuhi tahap keselesaan maksimum. Tentukan mengetahui gaya yang sesuai dengan keperluan konsep reka bentuk ruang anda:
Sofa rendah dan rata = nampak bersih dan moden
Sofa melengkung, berbaldu, besar = gaya klasik
Sofa menggunakan kayu = gaya tradisional
Sofa anyaman bahan semula jadi = gaya resort dan kedesaan
Selesa
Dalam menentukan tahap keselesaan sofa adalah bergantung kepada keanjalan dan kelembutan kusyen. Tentukan sama ada hendak memilih jenis kusyen yang melekat atau terasing.
Keselesaan paling utama kerana kusyen yang baik dapat menampung berat sesuatu keluarga kerana dengan cara duduk saja kita dapat menguji tahap keselesaan sesuatu sofa.
Bahan yang digunakan hendaklah diketahui sama ada campuran dari bahan foam, fibre atau kekabu. Pengisian dari bahan foam adalah terbaik kerana dapat mengekalkan bentuk dan memberi sokongan yang kuat.
Seterusnya berapa bilangan kusyen yang diperlukan. Gaya satu kusyen akan menawarkan gaya moden sementara gaya dua kusyen atau lebih akan kelihatan seperti gaya tradisional atau klasik.
Seri warna
Digalakkan memilih warna yang terang untuk sofa.
Warna neutral adalah pilihan yang ideal.
Cara terbaik dengan mengekal sofa utama dalam satu warna dan digabung dengan corak dan warna dengan aksesori sofa seperti kusyen baling.
Ada idea yang baik dengan menggunakan corak pada upholsteri bagi menutup kekotoran yang berlaku pada sofa.
Saiz
Adalah satu kesilapan utama apabila membeli perabot atas dorongan tawaran jualan tanpa membuat kajian saiz ruang rumah anda.
Yang menyedihkan apabila saiz perabot tidak boleh muat walaupun pada pintu rumah.
Pastikan saiz dan dimensi serta ukuran lebar, tinggi dan panjang perabot diketahui dan saiz maksimum ruang rumah anda.
Ketahanan
Selain ketahanan struktur perabot, ketahanan bahan fabrik juga penting. Fabrik jenis jacquard adalah fabrik yang paling tahan. Bahan pelindung fabrik pula hanya menjaga fabrik tidak kepada ketahanan fabrik.
Periksa perabot yang hendak dibeli, ambil masa untuk memeriksa dari segi pembinaan struktur rangka perabot. Sofa yang tahan lama biasanya akan menggunakan bahan jenis kayu keras sebagai rangka, walaupun jenis kayu keras akan menyumbang kepada keberatan perabot.
Tunggang terbalikkan perabot yang hendak dibeli untuk mengetahui kekuatan dan kestabilan sofa.
Duduk dan rasai sofa yang hendak dibeli seperti di dalam rumah kerana ini akan memberi idea dan ajak orang lain untuk merasainya. Ini membantu anda membuat analisis terhadap tahap keselesaannya dan ketahanannya.
Author: Syd Time: 12-8-2007 11:30
Syarat ubah suai kediaman
Bersama Hamidon Abdullah
(Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)
Sumber kewangan, pemilihan perunding, kontraktor harus beri kepuasan diingini
MENGAPA kita perlu membuat pengubahsuaian? Satu soalan yang perlu dijawab setiap pembeli rumah. Banyak jawapan diterima bila soalan itu diajukan. Antara jawapan adalah pengubahsuaian perlu dilakukan apabila ruang sedia ada tidak boleh lagi menampung keperluan.
Selain itu perancang ruang yang tidak efisien, penggunaan bahan tidak sesuai, bukaan tingkap dan laluan pada pintu tidak memenuhi kehendak semasa adalah antara sebab utama pemilik cuba membuat pengubahsuaian.
Sebelum melakukan pengubahsuaian beberapa perkara perlu diambil kira supaya pelaksanaan lancar dan siap mengikut perancangan dan jadual.
Sumber kewangan
Sebelum sesuatu idea untuk pengubahsuaian timbul, perkara utama yang terlintas dalam fikiran pemilik rumah adalah sumber kewangan bagi menampung kos pengubahsuaian. Apakah sumber kewangan mencukupi untuk menampung keseluruhan idea pengubahsuaian. Antara perkara perlu diambil tahu adalah :
Perkenalkan bajet yang realistik.
Bandingkan angka yang mampu untuk dibelanjakan dengan nilai pengubahsuaian.
Jika ingin membuat pinjaman, buat perbandingan dengan institusi kewangan atau bank berdaftar dan minta nasihat rakan atau saudara yang pernah melakukannya.
Jika tidak pasti, berunding dengan juru reka bentuk dalaman profesional untuk mendapat nasihat atau cadangan. Harus diingat perunding reka bentuk dalaman akan mengenakan beberapa peratus bayaran jururunding ke atas rundingan yang dibuat.
Buat perbandingan daripada pelbagai kontraktor dan pembekal yang menyedia sebut harga ke atas kerja yang dikehendaki dan barangan yang akan dibekal.
Lebih banyak pengubahsuaian dibuat semakin tinggi kosnya, selain itu anda juga memerlukan sumber kewangan bagi membeli perabot dan kemasan baru.
Dengan bajet yang teratur dan sumber kewangan yang jelas dapat membantu kita membuat keputusan dan menyusun jadual supaya pengubahsuaian dapat disiapkan mengikut tempoh.
Dalam menilai cadangan ubah suai, anda perlu dapatkan setidak-tidaknya tiga cadangan harga daripada kontraktor dan perunding reka bentuk dalaman. Amat penting mendapatkan tiga anggaran harga untuk kita menilai dan membuat keputusan kontraktor yang mana sesuai yang menawarkan harga berpatutan.
Pastikan setiap anggaran tepat dan menyeluruh mengikut cadangan dan hendaklah bertulis untuk rujukan. Jika tidak dibuat secara bertulis akan berlaku pertukaran jumlah harga yang menyebabkan bajet melebihi anggaran. Masalah ini dipanggil kos tersembunyi yang akan menimbul pelbagai masalah di kemudian hari.
Pemilihan perunding dan kontraktor
Sebelum merealisasikan impian rumah anda untuk diubah suai, anda perlu mencari dan memilih rakan perunding reka bentuk dalaman dan kontraktor yang boleh menawarkan khidmat diperlukan.
Fungsi perunding reka bentuk sebagai perunding bagi memberi nasihat dan membuat cadangan reka bentuk secara profesional.
Membuat lakaran cadangan dalam bentuk dua dimensi iaitu pelan, keratan dan pandangan sisi.
Membuat lakaran cadangan dalam tiga dimensi iaitu pandangan perspektif.
Membuat anggaran kos, pilihan kemasan dan jadual pembinaan.
Menyedia lukisan kerja-kerja pembinaan mengikut cadangan dan butiran yang dipersetujui.
Membuat permohonan untuk mendapat kelulusan dari pihak penguasa tempatan (PBT) dan hal-hal berkaitan kelulusan pembinaan pengubahsuaian.
Kontraktor atau jurubina adalah mereka yang melaksanakan pembinaan mengikut cadangan disediakan perunding reka bentuk dalaman berdasarkan arahan dari segi lukisan pelan dan binaan yang disediakan.
Kontraktor akan menyediakan kos pembinaan berdasarkan pilihan bahan dan nilai kerja yang perlu dilakukan.
Kontraktor perlu menyiapkan kerja mengikut jadual dan memohon bayaran berdasarkan kos yang dipersetujui mengikut sebut harga dan kontrak.
Kontraktor tidak boleh sewenang-wenang membuat kerja yang bukan skop kerja dan memohon bayaran tanpa dipersetujui tuan rumah dan perunding.
Sebelum melantik sama ada perunding reka bentuk dan kontraktor anda perlu berhati-hati terutama mereka cuba melakukan penipuan. Carilah perunding yang berdaftar dengan badan reka bentuk profesional kerana mereka ada skala yuran profesional yang perlu diikuti.
Kaji dan selidik keupayaan perunding dan kontraktor, lihat kerja yang pernah dilakukan. Selepas menyelidik dan anda puas hati barulah membuat keputusan. Jangan buat apa-apa pembayaran sehingga kontraktor membuat kerja awalan dan bayar hanya atas nilai kerja yang dilakukan.
Setiap kerja yang dilakukan mesti mempunyai jaminan terhadap kesan kecacatan kerja dan kontraktor perlu membaiki sebelum semua pembayaran dibuat.
Berdasarkan sokongan dan cadangan dari rakan atau kenalan terhadap sesuatu kontraktor atau juru reka yang pernah melakukan kerja dengan rakan berkenaan dapat membantu kita mengkaji keupayaan dan dapat menjalin hubungan komunikasi yang baik dengan mereka.
Akhir sekali buat pilihan yang tepat dan pastikan pilihan juru reka dan kontraktor yang berdaftar, baik dalam dokumentasi kontrak dan pengurusan projek baik dalam keupayaan tahap kerja yang terdahulu dan mempunyai komunikasi yang baik. Ini semua bagi melancarkan kerja pengubahsuaian dan bagi mencapai impian rumah yang anda impikan.
FAKTA: Petua ubah suai rumah
Dapatkan pandangan daripada jiran, kawan atau saudara-mara atau orang yang berpengalaman.
Buat perbandingan dan dapatkan beberapa sebut harga.
Pastikan mendapat kelulusan pelan pengubahsuaian dan keselamatan
daripada pihak berkuasa.
Sebelum ubah suai, buat lakaran pelan. Seeloknya dapatkan nasihat pelukis pelan.
Upah kontraktor yang boleh dipercayai dan terbukti mutu kerja mereka.
Jangan bayar upah sekali gus. Ditakuti kontraktor lari sebelum siap kerja.
Pastikan anda mendapatkan bekalan bahan mentah yang berkualiti pada harga munasabah.
Jangan serahkan semuanya kepada kontraktor kerana ada kontraktor menggunakan bahan mentah yang murah dan tidak berkualiti.
Jika ada masalah ketika kerja pengubahsuaian, bincang dengan kontraktor untuk mengelakkan rasa tidak puas hati apabila rumah siap.
Author: Syd Time: 20-8-2007 09:16
Bentuk imej baru ruang tamu
Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)
Pengubahsuaian amat perlu dilakukan jika fungsi, kemasan dan gaya tidak lagi menarik
SELEPAS membincangkan peranan ruang tamu dan fungsi ruang serta pemilihan perabot dan kemasan yang sesuai pada ruang, kini saya akan membincangkan proses dan perkara yang perlu diambil perhatian dalam pengubahsuaian ruang tamu.
Ruang tamu adalah ruang untuk kita menerima tetamu selain tempat kita berkumpul bersama keluarga. Sebelum kita memulakan pengubahsuaian beberapa perkara perlu diambil kira antaranya mengenal pasti masalah yang dihadapi pada ruang sedia ada seperti kedudukan bukaan tingkap dan pintu serta masalah laluan pergerakan dan susunan perabot.
Selepas kenal pasti punca masalah, nyatakan idea untuk mengatasi masalah. Adakah idea untuk mengatasi masalah itu membabitkan perubahan struktur rumah dan apakah sumber kewangan yang ada ketika ini dapat menampung kos pengubahsuaian? Bawa berbincang dengan keluarga sebelum keputusan terakhir diambil.
Buat pemilihan atau menghubungi arkitek atau juru reka dalaman yang sesuai dan berkebolehan mengenai idea untuk membuat pengubahsuaian. Jika membabitkan perubahan struktur berbincang dengan arkitek dan jurutera struktur bertauliah.
Rujukan pada pelan bangunan perlu untuk panduan mengenai kos perbelanjaan dan untuk memohon untuk mendapat kelulusan dari pihak berkuasa tempatan (PBT).
Jika tidak membabitkan perubahan struktur, berbincang terus dengan juru reka dalaman berkenaan mengenai susun atur perabot, gaya penataan, kemasan dalaman dan skima warna. Dapatkan juga nasihat mengenai reka bentuk perabot yang sesuai, fabrik langsir dan jenis cat.
Selepas perbincangan dibuat mengenai kos dan persetujuan secara bertulis, kerja awalan perlu dilakukan. Mulakan dengan kita mengemas peralatan dan perabot dengan menutupi atau mengalih ke tempat lain dan kosongkan kawasan ruang tamu supaya kerja-kerja pengubahsuaian mudah dilakukan.
Mulakan kerja pada bahagian atas siling dulu supaya mudah dari segi penyelenggaraan sebelum ke bahagian lain. Jika ingin menggunakan kemasan siling gantung jenis fibrous plaster, pastikan ruang mesti kosong dan lantai mesti ditutupi bagi melindungi kekotoran.
Selepas kerja mengecat atau memasang kertas dinding selesai barulah upah tukang kayu atau pakar untuk memasang lantai. Cara pemasangan kemasan lantai bergantung kepada apakah jenis kemasan lantai yang akan digunakan. Jika menggunakan kemasan lantai kayu, pastikan kawasan sekitarnya bebas habuk sebelum kerja kemasan varnish dan melekatkan panel kayu dilakukan.
Sekiranya anda mempunyai sumber kewangan yang besar, adalah baik jika mengguna sumber berkenaan untuk membesarkan struktur ruang, ia boleh dilakukan menerusi kaedah berikut:
Menebuk dinding yang mengasingkan dua ruang untuk membentuk sebuah ruang tamu terbuka dan lapang.
Membina dinding pemidang daripada panel kaca dan cermin untuk beri kesan keluasan ruang secara ilusi.
Mewujudkan keluasan ruang secara menegak dengan menonjolkan kesan siling.
Mewujudkan kesinambungan luar dan dalam menerusi penambahan patio, pelantar, tingkap kaca panjang atau pintu lipat.
Jalinan luar dan dalam pada ruang boleh dilakukan dengan binaan landskap yang menarik bagi memberi kesan alam semula jadi seperti desiran bunyi air dan kehijauan pokok.
Ruang tamu terbuka boleh diperoleh menerusi pembinaan skrin gelangsar dan pengadang berlipat. Tutup skrin atau pengadang apabila ruang tidak digunakan dan membukanya apabila menggunanya Ketika mengadakan majlis keramaian tertentu.
Sumber cahaya semula jadi amat penting. Oleh itu pembinaan bumbung `skylight' atau memperluaskan bukaan tingkap bagi membawa masuk cahaya luar.
Kepelbagaian sumber pencahayaan menyediakan ragam suasana berbeza merujuk aktiviti yang dilakukan. Sebagai contoh lampu tumpu jenis terang diletakkan di sudut membaca dan lampu sisi untuk menonton tv.
Seperti diketahui ruang tamu adalah fokus pada keseluruhan ruang. Hanya ruang tamu mampu dijelajah tetamu anda, oleh itu beri tumpuan sepenuh pada ruang ini pada pilihan kemasan lantai, dinding dan siling serta pilihan perabot dan kemasan lembut.
Pengubahsuaian amat perlu dilakukan jika anda merasakan ruang tamu yang ada tidak lagi berupaya untuk berfungsi dengan sempurna dan tidak menarik dari segi pilihan kemasan atau pilihan gaya.
Dengan adanya usaha memberi nafas baru kepada suasana ruang tamu yang ada maka akan dapat membantu anda dan keluarga kepada pembentukan imej baru. Dengan adanya imej baru ruang tamu dan mungkin pada keseluruhan kediaman anda akan memberi seri kepada keluarga ketika menyambut hari yang istimewa seperti majlis perkahwinan atau majlis keramaian seperti sambutan Aidilfitri kerana pada ketika itu ramai tetamu akan datang mengunjungi rumah anda.
Author: Syd Time: 26-8-2007 12:56
Ruang makan kena praktikal
Oleh Hamidon Abdullah
RUANG makan adalah antara pusat pertemuan di dalam rumah selain ruang tamu dan ruang keluarga. Ruang makan biasanya terletak di antara ruang tamu dan dapur. Ia menjadi pertemuan apabila tetamu dan keluarga ingin menjamu hidangan.
Ruang makan boleh didefinisikan sebagai suatu ruang yang sebahagiannya terpisah dari dapur dan ruang di mana keluarga dan tetamu bertemu untuk menikmati hidangan dan hiburan bersama. Oleh itu adalah penting ruang makan dirancang supaya kelihatan menarik, dalam suasana mesra dan lebih penting mestilah praktikal ketika menyediakan makanan dan minuman.
Dua jenis ruang makan:
Ruang makan terbuka
Ruang makan terbuka ini membolehkan aktiviti menjamu hidangan digabungkan bersama dengan aktiviti memasak. Oleh itu ruang dapur tidak terpisah dengan ruang makan. Susun atur perabot meja makan berbentuk kaunter atau berbentuk biasa digabung bersama kaunter memasak di bahagian ruang dapur.
Ruang terbuka sesuai digunakan pada ruang terhad seperti rumah apartmen atau rumah yang mempunyai ruang makan terhad. Gaya ini bagaimanapun mula digunakan bagi kediaman kondominium mewah kerana aktiviti memasak tidak perlu disembunyi dan perlu diadakan secara terbuka.
Bagaimanapun sistem ruang makan terbuka memerlukan sistem sedutan udara baik dan peralatan dapur yang bersih dan kemas.
Ruang makan terpisah
Ruang makan terpisah ini bermaksud terletak berasingan dari ruang lain terutama ruang dapur. Bagi kediaman yang besar dan mewah, ruang makan utama dikhususkan untuk majlis makan rasmi bagi tetamu istimewa. Ruang makan ini di hiasi mengikut kedudukan dan kemewahan mereka sedangkan bagi menikmati hidangan harian, ruang makan sederhana disediakan di bahagian lain.
Ada juga ruang makan yang sederhana terletak di dapur kering bagi menikmati sarapan pagi. Ruang makan sarapan ini sesuai bagi mereka yang tidak memerlukan ruang makan yang besar kerana bilangan ahli keluarga sederhana dan mudah dikemas
Ruang makan semestinya mengandungi satu meja dan beberapa kerusi yang boleh menampung untuk kegunaan keluarga dan tetamu duduk dan menikmati hidangan dan minuman. Dalam melaksanakan tugas sebagai ruang makan beberapa panduan seperti ini perlu diambil perhatian;
Meja bulat sesuai bagi menggalakkan suasana makan yang harmoni dalam keadaan yang mudah untuk bersosial. Susunan bulat akan menyebabkan sesiapa pun tidak tertinggal atau terpinggir, cuma bentuk meja makan bulat agak terhad dari segi bilangan kerana lagi besar bilangan lagi besar ruang yang diperlukan. Bilangan tempat duduk sekitar 8 - 10 orang adalah bilangan maksimum yang paling sesuai.
Jika memang memerlukan bilangan yang ramai mungkin boleh mencadangkan meja berbentuk bujur oval yang boleh dipanjangkan.
Ruang makan terhad bukan alasan untuk pengguna ruang makan tidak berupaya menerima bilangan tetamu yang ramai kerana sistem meja makan lipat dan memanjang adalah yang paling sesuai dan praktikal.
Pilih kerusi atau tempat duduk selesa, pilihan perlulah menepati kehendak keperluan antropometrik dan ergonomik saiz manusia. Pilihan saiz yang tepat membenarkan pengguna duduk tanpa berlaga lutut dan siku. Selain daripada itu fikirkan juga saiz ruang yang diperlukan untuk menolak dan menarik kerusi ke belakang tanpa melanggar antara satu sama lain atau bahagian dinding dan perabot.
Jika keluasan ruang membenarkan, sediakan ruang untuk penyediaan makanan dan mestilah terletak berdekatan dengan pintu atau lorong ke dapur. Troli mudah alih sesuai digunakan jika sukar untuk menyedia ruang penyediaan makanan.
Rancang ruang penyimpanan barang untuk penyediaan makanan dan minuman. Bagi mengelak dilihat, bina tempat penyimpanan secara bina kekal atau perabot konsol diletak berdekatan ruang makan bagi memudah untuk dikeluarkan apabila hendak digunakan.
Meja empat segi sesuai digunakan dalam suasana makan secara terkawal dan lebih sopan selain penggunaan ruang juga boleh dirancang dan tidak memberi kesan ketara pada keseluruhan ruang makan.
Cermin boleh digunakan sebagai nilai tambah pada ruang makan kerana kesan pembalikan memberi kesan keluasan ruang dari pandangan visual. Selain daripada itu sebagai penyeri dan penarik selera kerana refleksi cahaya lampu menerangi ruang dan refleksi ruang yang cerah akan membangkitkan selera.
FAKTA:
Pemilihan warna penting di ruang makan. Pilihan warna yang sekata akan memberi kesatuan pada ruang makan. Pilih warna panas (warna merah) secara psikologi boleh membangkit selera dan menceriakan ruang.
Jika ruang makan mempunyai fungsi berbeza seperti ruang makan dan ruang bekerja atau belajar, sediakan skrin, langsir atau pemidang yang boleh mengasingkan ruang kepada dua setiap satu dengan fungsi masing-masing.
Penggunaan cahaya memainkan peranan penting dalam ruang makan. Jika boleh dapatkan cahaya semula jadi memasuki ruang makan, jalinkan ruang makan kepada persekitaran luar dengan tumbuh-tumbuhan segar, landskap menarik, desiran air dan adakan aktiviti luar sebagai membakar barbeque di patio atau di dek kayu dan sambil duduk makan di ruang makan.
Adakan bukaan yang luas pada ruang makan supaya tetamu dapat menikmati persekitaran yang menarik dan ventilasi udara yang selesa kerana ini semua menyumbangkan keselesaan untuk menikmati hidangan tanpa ada bau yang kurang menyenangkan.
Pemilihan aksesori dan hiasan yang menarik dapat menambah seri kepada ruang makan. Aksesori mestilah tidak mematikan selera makan, bersih tidak berbau dan tidak melambang kesedihan. Gambar kejayaan dan kegembiraan keluarga, lukisan dan gambar alam semula jadi, suasana ceria amat sesuai diletak di kabinet, meja dan pada dinding.
Pilihan lampu yang menarik dan disesuaikan dengan susun atur perabot. Susunan lampu siling dan lampu dinding hendaklah diselaras bagi memberi kesan yang dramatik dan tidak menyilaukan mata.
Ruang makan adalah pelengkap ruang sosial dalam rumah kediaman. Ruang makan perlu sama hebat dengan ruang tamu kerana ruang ini selain digunakan untuk menjamu tetamu dan keluarga, ruang makan juga digunakan untuk berunding dan berbincang. Jadikan ruang makan antara ruang yang menjadi pilihan anda dan sentiasa menyeronokkan.
Author: pinatbate Time: 26-8-2007 14:13
rajin betul syd ni...
Author: Syd Time: 2-9-2007 12:22 Subject: Reply #72 pinatbate's post
alaaa...
sambil dok baca2
tak susah pun
copy & paste taruk kat sini
Author: Syd Time: 2-9-2007 12:24
4 faktor pilih perabot
Bersama Hamidon Abdullah(Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)
Luas ruang, saiz meja, gaya rumah dan bajet sukarkan pengguna buat pilihan
TERLALU banyak perkara yang perlu diambil kira apabila membeli perabot untuk ruang makan. Perabot yang dipilih mesti sesuai dan memenuhi cita rasa serta gaya hidup dan yang paling penting ketahanannya.
Dengan begitu banyak pilihan perabot dari segi gaya, bahan dan kualiti terdapat dalam pasaran, membuat pilihan tepat sudah tentu memeningkan dan kadangkala mengelirukan.
Faktor utama yang perlu diambil kira sebelum membeli perabot meja dan kerusi ruang makan adalah:
Keluasan ruang
Saiz meja makan dan kerusi
Gaya rumah anda
Bajet
Keluasan ruang
Anda perlu memastikan keluasan ruang dan bentuk meja makan seimbang pada keseluruhan ruang makan. Adalah bijak jika membuat ukuran ruang makan sebelum membeli perabot. Dengan begitu banyak pilihan perabot dari segi gaya, bahan dan kualiti terdapat dalam pasaran, membuat pilihan tepat sudah tentu memeningkan dan kadang-kadang keliru.
Selain itu lukisan pelan lantai dengan saiz ukuran mengikut skala yang betul perlu ada dan hendaklah dibawa bersama ketika menentukan pilihan perabot yang hendak dibeli.
Saiz meja
Selepas kita mengetahui keluasan ruang makan yang ada, kita sudah pasti boleh mengagak apakah saiz meja makan yang sesuai. Satu keperluan yang mesti ialah pilihan meja makan perlu muat ruang yang ada sebab tiada siapa mahu duduk dalam ruang sempit yang mana terpaksa berhimpit untuk menikmati hidangan.
Fikirkan berapa bilangan orang yang diperlukan dalam satu masa meja makan. Meja yang boleh dipanjangkan amat sesuai jika kita memerlukan tambahan tempat duduk. Pilih meja yang boleh dipanjangkan dan mudah diolah kedudukannya dan diminimumkan saiznya untuk kegunaan harian.
Kelebaran meja makan amat penting. Kita memerlukan kelebaran yang cukup untuk meletakkan pinggan dan mangkuk yang digunakan untuk menghidangkan lauk-pauk. Saiz kelebaran meja yang diperlukan adalah minimum satu meter jika hendak tetamu anda melayan diri sendiri.
Jika bilangan tetamu melebihi bilangan kerusi sedia ada sediakan kerusi yang boleh disusun secara bertindih untuk menjimat ruang apabila tidak digunakan.
Saiz Ukuran
i. Ketinggian
Standard saiz meja adalah 750 milimeter (mm) tinggi tetapi boleh direndahkan sehingga 700 mm
Tinggi kerusi mesti 450 mm pada aras tempat duduk
ii. Bilangan
Tetapkan berapa bilangan orang akan duduk, setiap orang memerlukan sekitar 600 mm kelebaran tempat duduk, benarkan 100 mm sehingga 150 mm.
iii. Jarak kelegaan
Jarakkan meja sejauh sekurang-kurangnya 600 mm dari dinding sekeliling supaya mudah untuk keluar dan masuk.
Jika mempunyai ruang makan kecil, permukaan meja boleh mengguna gelas dan ini akan memberi kesan ilusi pembesaran ruang
Bentuk meja makan
Saiz meja makan adalah faktor utama menentukan bentuk meja. Antara bentuk meja makan adalah:
Meja segi empat tepat
Sangat sesuai untuk makan secara santai dan juga sesuai untuk makan secara romantik kerana boleh diduduki dua atau empat orang.
Dapat menjimatkan ruang bila digunakan pada ruang kecil.
Tidak sesuai digunakan dalam bilangan yang ramai.
Meja segi empat bujur
Boleh menyediakan bilangan tempat duduk yang ramai
Boleh menolong memanjangkan ruang
Kurang sesuai dengan cara makan orang Asia jika hidangan tidak boleh dicapai pada bahagian hujung
Meja bulat
Sesuai untuk merangsang perbualan
Berkesan dari penyesuaian pada ruang yang tidak sama
Tidak sesuai dalam ruang kecil dan memerlukan ruang lebih berdasarkan bilangan tempat duduk.
Perabot yang mesra keluarga
Perabot yang mesra keluarga bermaksud bahawa perabot yang digunakan mestilah mempunyai ciri ciri keselamatan, tahan lasak dan mudah dibersihkan.
Antara ciri reka bentuk perabot mesra keluarga yang selamat adalah seperti mempunyai bucu meja yang bulat dan tidak tajam dan kemasan kayu yang senang dan tahan dikesat apabila kotor.
Selain itu bagi kemasan fabrik pada kerusi juga boleh dibuka dan kemudian boleh dibasuh jika berlaku kekotoran pada lapik tempat duduk kerusi.
Ruang penyimpanan
Masalah penyimpanan barang adalah masalah utama bagi rumah kecil, oleh itu sangat baik jika perabot meja makan ada menyedia laci atau ruang penyimpanan untuk menyimpan kain pengesat tangan, alas meja atau sudu garpu.
Pastikan jika ada ruang penyimpan pada meja makan, adakah saiz ketinggian cukup untuk keselesaan bagi kelegaan tempat duduk.
Bahan kemasan
Bahan kemasan meja makan adalah terdiri dari berbagai jenis. Pilihan kemasan dibuat berdasarkan tema, gabungan dekorasi, pilihan persendirian dan kemasan sedia ada pada perabot yang dibeli.
Pilih satu kemasan yang kukuh dan mempunyai fungsi.
Kemasan Kayu
Kuat dan memperlihatkan kesan bahan alam semula jadi
Menampakkan keselesaan dan kecantikan pada kemasan dan urat kayu
Berat dan sukar diubah kedudukan
Mahal kerana diperoleh dari gred kayu yang baik dan mahal
Venir
Sebagai bahan ganti kemasan dari bahan kayu yang padu
Mempunyai pilihan yang banyak dari bahan urat kayu yang cantik tidak terdapat pada bahan kayu tempatan
Mudah diselenggara jika menggunakan bahan laminate yang tahan panas dan kalis air
Perlu dijaga bagi mengelak merekah dan terkopek pada bucu meja
Kaca dan gelas
Menawarkan kesan eksklusif dan nampak mahal
Dapat menambah kesan ilusi pada ruang
Mudah dibersihkan tetapi perlu hati-hati kerana mudah pecah
Mudah tercalar, terdapat kesan tapak tangan dan kesan habuk terkumpul pada permukaan.
Plastik
Harga yang murah, maka ia mampu dibeli
Ringan, mudah dialih dan disimpan
Tahan lasak dan sangat sesuai di persekitaran luar rumah
Mudah diselenggara tapi tidak sesuai bagi rumah kediaman yang eksklusif
Mudah rosak kerana tidak tahan pada cahaya
Bajet
Pada dasarnya perabot ruang makan bukanlah murah seperti disangka. Semak bajet yang diperuntukkan, jika bajet tinggi, lebih baik mendapat perabot yang mahal dan bermutu tinggi Adalah baik menambah sedikit bajet bagi memperoleh perabot bermutu dari terpaksa berbelanja lagi kerana perabot mudah rosak atau patah.
Bagi keluarga yang baru, adalah baik memilih perabot yang 'selamat', 'tahan lasak' dan 'berfungsi' kerana faktor ini dapat membantu kita menggunakan perabot dengan jangka masa lama dan menjaganya baik.
Author: Syd Time: 9-9-2007 11:00
Ceriakan kamar tidur
Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)
Pemilik kediaman perlu elak guna warna yang boleh menyebabkan diri berasa tertekan
KAMAR tidur adalah ruang privasi atau persendirian. Lokasi kamar tidur biasanya terletak jauh dari ruang sosial yang lain, fungsinya supaya pengguna ruang tamu tidak diganggu oleh aktiviti di ruang sosial.
Bilik tidur ada beberapa jenis mengikut kegunaannya iaitu bilik tidur utama yang digunakan oleh pemilik rumah, bilik kedua terdiri dari bilik anak bujang atau bilik tidur kanak-kanak dan bilik tidur tetamu. Semua bilik tidur itu memerlukan beberapa keperluan bagi menjadikan bilik tidur berfungsi dengan baik.
Kamar tidur boleh dikatakan sebagai penawar jiwa dan raga kerana inilah satu-satunya ruang privasi pemilik rumah beristirehat selain ruang untuk menukar pakaian dan tempat menghias diri. Selain itu, ia juga diguna untuk berbincang secara privasi dan membaca
Kamar tidur adalah ruang untuk memulakan hari kita, jika hendak memulakan hari yang ceria maka kamar tidur mestilah kita ceriakan dulu. Apa yang perlu dilakukan adalah dengan merancang kamar tidur dengan baik dari segi kedudukan, susun atur, pemilihan bahan, skima warna dan aksesori dalamannya.
Jika kita lakukan dengan baik kita akan berasa lebih lega dan nyaman di dalamnya dan ini tentu sekali akan menceriakan ruang kamar tidur dan hari kita.
Lokasi kamar tidur utama
Bagi golongan muda yang masih kuat dan bertenaga, lokasi kamar tidur tidaklah menjadi isu utama dalam rumah yang mereka diami terutama jika rumah yang mereka miliki itu sebuah rumah teres dua tingkat sederhana.
Pihak pemaju sudah menentukan kamar tidur utama berada di tingkat atas kerana tingkat bawah hanya cukup untuk ruang tamu, ruang makan, dapur dan bilik utiliti. Bagi pemilik yang sudah berusia lokasi kamar tidur utama ini adalah perkara pokok yang harus diambil kira.
Rata-rata mereka mahukan kamar tidur berada di tingkat bawah kerana mudah untuk keluar masuk tanpa terpaksa memanjat tangga yang tinggi apabila tua atau sakit.
Lebih baik lagi jika kamar tidur berhampiran dapur kerana mudah untuk mengambil minuman apabila dahaga. Maklum sajalah apabila sudah pencen, anak pun sudah dewasa dan kebanyakan mereka tidak tinggal bersama lagi kerana inginkan kebebasan atau sudah berumahtangga.
Jadi, semuanya kena buat sendiri. Sememangnya bilik air juga haruslah bercantum dengan kamar tidur ini untuk kemudahan ke tandas. Alangkah indahnya jika kamar juga mempunyai tingkap atau pintu berkaca yang menghadap sebuah taman hijau kecil untuk menyejukkan suasana dan menyamankan pengaliran udara.
Ini akan membantu mengurangkan tekanan jiwa mereka yang terpaksa duduk di dalam kamar tidur untuk jangka masa lama kerana sakit. Bunyi desiran air mengalir juga akan membantu sebagai terapi jika diintegrasikan ke dalam taman berkenaan.
Aksesori kamar tidur utama
Apabila kita sakit dan tidak dapat keluar dari kamar tidur, kita pasti akan berasa bosan dan ini boleh menyebabkan tekanan jiwa yang tinggi dan melambatkan proses pemulihan.
Selain mempunyai pemandangan luar yang redup dan nyaman, kita juga memerlukan kelengkapan lain seperti TV. Jika barangan ini menjadi keperluan, eloklah disediakan perabot yang sesuai untuk aksesori sama ada pasang siap atau ditempah dan tentu sekali ia ditempatkan bertentangan kaki katil supaya kita boleh berehat sambil menonton rancangan kegemaran.
Biasanya, di bahagian kiri dan kanan katil, kita akan meletakkan meja sisi yang dihiasi lampu meja di atasnya untuk membaca sebelum tidur. Meja sisi ini haruslah cukup lebar bukan hanya untuk menempatkan lampu, tetapi alat lain seperti telefon bilik, alat kawalan jauh dan paling penting ialah makanan dan minuman ketika sakit.
Ramai sering lupa apabila sakit, kita sudah tidak larat lagi untuk bangun ke dapur. Semua keperluan harus berada berhampiran kita, maka perabot yang kita pilih juga haruslah menyediakan ruang mencukupi untuk keperluan itu.
Bagi makcik dan pakcik yang sudah biasa dengan tandas cangkung pula haruslah mencuba menggunakan tandas duduk. Hasil soal selidik yang dijalankan secara tidak formal, golongan tua lebih suka menggunakan tandas duduk kerana tidak meletihkan otot badan ketika ke tandas.
Mungkin pada peringkat permulaan berasa agak kekok, tetapi percayalah kalau kita sudah tua dan uzur, tandas duduk lebih kurang membebankan. Jadi, apabila kita merancang untuk memilih aksesori tertentu, kita haruslah memikirkan keadaan yang esktrim sekali iaitu aksesori penyeri tingkap.
Sebaiknya, kita haruslah menggunakan langsir dua lapis dengan satu lapisan yang jarang dan satu lapisan lagi tidak telus cahaya. Ini kerana ada masanya apabila kita sakit, cahaya matahari menjadi masalah utama apabila terlalu terang dan silau.
Jadi, kita haruslah menyediakan aksesori tingkap yang dapat menapis cahaya matahari ini dan pada waktu yang lain memberi kita peluang menikmati pemandangan di luar dengan keadaan lebih terkawal.
Pengaliran udara semula jadi
Apabila kita sakit atau tua, udara semula jadi yang nyaman adalah paling baik untuk tubuh kita. Udara dari pendingin hawa adalah udara yang dikitar semula berulang kali dan tidak begitu menyihatkan walaupun menyamankan kerana suhu rendah.
Paling ideal untuk tubuh kita adalah yang mengalir bebas dengan rongga ventilasi yang membolehkan udara masuk dan keluar dengan sendirinya tanpa menggunakan kaedah mekanikal atau elektrikal.
Ini memerlukan sentuhan seorang arkitek yang bijak dalam soal reka bentuk efektif dan jarang sekali kita temui keadaan ini kerana mereka lebih mementingkan estetik daripada fungsi.
Maka, tugas juru reka dalaman adalah untuk memulihkan keadaan ini supaya penghuni rumah berkenaan dapat menikmati pengudaraan yang efektif tanpa pendingin hawa. Namun, pemilik rumah juga harus sedar akan kepentingan ini kerana ramai juga pemilik rumah hanya mencari jalan mudah dengan memasang pendingin hawa.
Bagaimanapun, tidak salah untuk memasang alat itu kerana kita mempunyai alternatif sama ada hendak dihidupkan atau dimatikan pada waktu tertentu.
Kamar terancang penghuni riang
Persekitaran kita haruslah mampu membantu dari segi mental, fizikal dan spiritual. Kerana itu ia harus dirancang dan direka dengan mengambil kira aspek rasional dan bukan mengikut kehendak trend atau emosi semata-mata.
Skema warna bagi kamar tidur haruslah dipilih dengan bijak kerana kita harus memikirkan juga keadaan tertentu yang kritikal seperti hari tua atau sakit. Jika sesuatu warna itu lebih menimbulkan tekanan emosi dan mental dari sudut kesihatan, mengapa harus kita ikut orang lain semata-mata kerana tren atau fesyen. Ingatlah - ini rumah, bukan ruang komersial.
Author: Syd Time: 17-9-2007 12:43
Kamar anak bujang
Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman UiTM)
PERSEKITARAN selesa mewujudkan keupayaan berfikir.
Keperluan tidak tertumpu pada tempat tidur tetapi juga ruang belajar, keselesaan
BERBICARA mengenai kamar tidur memang agak panjang kerana ia meliputi hampir 50 peratus keseluruhan ruang dalam kediaman kita. Selepas membincangkan mengenai kamar beradu utama, sekarang kita beralih perhatian kepada ahli keluarga paling dekat iaitu anak.
Dalam keluarga, anak-anak berada pada tahap usia berbeza. Apabila meningkat dewasa mereka memerlukan kamar tidur berbeza dengan zaman mereka ketika kanak-kanak.
Berdasarkan usia dan perubahan fizikal mereka ini, kita istilahkan sebagai anak bujang. Maka bapa atau penjaga harus mengasingkan mereka dari segi jantina dan memahami apa kehendak semasa dan minat mereka.
Kepentingan menyediakan persekitaran dalaman yang selesa dan mampu meningkatkan keupayaan berfikir memang tidak boleh diambil ringan. Dengan elemen dalaman dan kegunaan seharian, kita dapat melatih mereka soal kebersihan, disiplin dan apresiasi terhadap keindahan serta penyelenggaraan supaya persekitaran kekal tersusun sepanjang masa. Kebiasaan ini akan menghasilkan manusia yang lebih teratur hidupnya dalam pelbagai aspek pada masa depan.
Masalah saiz ruang
BILIK tidur bujang perlu sesuai dengan keperluan mereka.
Sering kita berhadapan dengan saiz ruang terhad dalam menyediakan persekitaran dalaman serba lengkap untuk anak-anak. Saya lebih banyak membicarakan mengenai pemilik rumah teres kerana saya sendiri adalah pemilik rumah teres dan secara langsung menghadapi masalah berkenaan.
Di sini, kita terdorong menyoal semula peranan arkitek dan pemaju yang mereka bentuk serta membangunkan rumah itu.
Dalam banyak hal mereka gagal memberikan penyelesaian pembahagian saiz ruang yang seimbang mengikut keperluan dan amalan kehidupan lazim. Inilah akibatnya apabila khidmat nasihat pakar juru reka dalaman tidak dimanfaatkan sebaiknya.
Kita dapati kompromi antara saiz ruang tidak dapat dicapai sebaiknya. Ada kamar tidur utama terlalu besar dan berlebihan manakala saiz kamar tidur lain amat sempit dan tidak memadai dengan keperluan asas kamar anak bujang lelaki mahupun perempuan.
Kamar yang hanya muat secara idealnya untuk seorang kini terpaksa dikongsi berdua atau lebih, membuatkan mustahil untuk menghasilkan reka bentuk dalaman yang selesa dan menyenangkan.
Keperluan kamar anak bujang bukan hanya tertumpu kepada tempat tidur, almari pakaian dan barang keperluan peribadi saja tetapi, dewasa ini anak memerlukan tempat belajar yang kondusif bagi memberi motivasi mereka ketika mentelaah pelajaran di rumah.
Komputer dan kelengkapannya sudah menjadi sebahagian daripada keperluan seharian dalam pembelajaran. Sekiranya saiz ruang yang ada terhad, maka di mana hendak diletakkan semua kehendak ini? Ini belum termasuk apabila kita membicarakan mengenai rumah pangsa kos rendah yang mana bilangan ahli keluarga secara purata melebihi tiga anak.
Bagi yang memiliki rumah banglo, masalah ini tidak timbul, tetapi saya lebih senang membicarakan masalah yang dihadapi pemilik kategori terbesar iaitu rumah teres dan rumah pangsa kos rendah. Fungsi reka bentuk dalaman bukan sekadar mencantikkan ruang untuk golongan berada saja, tetapi menyelesaikan masalah keseluruhan kualiti ruang untuk semua lapisan masyarakat.
Masalah kualiti ruang
Dengan bangunan rumah teres dan rumah pangsa yang dibina sekarang di negara kita, saya kira sebahagian besar tidak melalui proses pemikiran dan penganalisaan dari aspek keperluan dan budaya hidup pengguna ruang.
Pemaju sebenarnya bertanggungjawab memberikan suatu reka bentuk asas yang menjawab kepada keperluan dan kehendak pengguna. Sesetengah pemaju tidak memainkan peranan langsung melainkan hanya memberikan kelainan dari segi kosmetik, yang sering tidak membawa apa-apa makna dan terikut-ikut dengan pengaruh luar.
Ia hanya menghancurkan martabat identiti tempatan yang sepatutnya kita banggakan dan pertahankan. Rumah ala tudor, ala Mediterranean, ala English dan ala Perancis hanya menambahkan kos rumah dan tidak memberikan penyelesaian masalah ruang yang lebih nyata dan serius.
Pemilik menjadi mangsa
Hampir semua pemilik rumah terpaksa menjalankan pengubahsuaian reka bentuk untuk menjadikannya lebih selesa didiami. Kita terpaksa berbelanja lebih besar dan kadangkala hampir 50 peratus daripada keadaan asal rumah terpaksa dikorbankan dengan kos bertambah sekali ganda.
Maka, apakah usaha kita selanjutnya? Pemaju dan arkitek juga adalah pemilik rumah, maka mereka juga harus bertanggungjawab dalam mencari jalan untuk menangani masalah ini. Mereka harus menggunakan khidmat dan kepakaran juru reka dalaman yang kerjanya khusus memikirkan masalah ini dan merujuk kepada beberapa negara maju yang melaksanakan beberapa ruang modular fleksibel boleh diubah suai mengikut keperluan siang dan malam.
Tidak bolehkah kita menghasilkan suatu atur asas ruang yang menjawab kepada persoalan saiz, keperluan storan, ventilasi dan perkara berkaitan kualiti ruang berkenaan? Ini boleh menyebabkan pengubahsuaian lumayan tidak perlu dijalankan dan penumpuan idea serta belanjawan boleh disalurkan kepada pengisian ruang yang lebih memberi faedah kepada pembangunan minda, spiritual dan keselesaan fizikal.
Keperluan kamar tidur anak bujang
Himpunan buku dan majalah tidak patut dibiarkan berselerak, begitu juga dengan barang permainan, pakaian dan perhiasan. Atasi masalah barang bersepah dengan membina rak penyimpanan siap dipasang jenis berpintu atau terbuka sama ada di penjuru, sudut atau ceruk di bilik tidur.
Atur kedudukan katil di tengah ruang atau ke dinding. Jika dua penghuni dalam satu bilik, gunakan katil dua tingkat atau katil bawah berlapis yang boleh ditarik di bahagian bawah yang boleh menjimatkan ruang.
Untuk kelainan, pasang rak buku menggantikan kepala katil. Jika mampu berbelanja lebih, tambah binaan kabinet siap dipasang di kepala katil yang boleh dijadikan tempat mempamer perhiasan dan menyimpan pelbagai barangan.
Kedudukan meja belajar atau membaca di dalam kamar tidur mestilah strategik dan melahirkan suasana segar serta cerah dari sumber cahaya semula jadi. Wujudkan sudut membaca di tepi tingkap. Tukar binaan tingkap biasa kepada jendela mengunjur supaya lebih banyak cahaya boleh memasuki ruang.
Meja membaca mestilah menyediakan laci kabinet berukuran rendah berpintu atau berlaci di bawah tingkap. Sediakan rak buku sebanyak mungkin supaya buku disusun teratur.
Disyorkan memasang lantai berlamina kayu yang tahan lasak kerana ia selesa dipijak dan mudah dibersihkan. Ini dapat mengelakkan kesan lembapan dan mudah dikeringkan.
Selain itu, gunakan pilihan warna pada kemasan dinding yang ceria menggambarkan kesan dinamik dan progresif sesuai dengan usia mereka tetapi harus berhati-hati kerana kalau tidak dikawal akan memberi kesan tekanan kepada anak anda secara tidak langsung.
Oleh kerana anak bujang cepat terpengaruh dengan perkembangan semasa dari segi perkembangan muzik, filem dan sukan, maka gambar poster idola mereka akan ditampal pada dinding. Oleh itu sediakan papan lembut dan papan putih untuk mereka melekat gambar dan membuat catatan.
Sediakan cahaya lampu yang cukup terutama lampu am pada siling dan lampu membaca pada meja belajar, kipas mestilah ada dan diletakkan sesuai pada ketinggian jika menggunakan kipas siling. Soket kuasa elektrik perlu mencukupi dan terletak berdekatan dengan meja belajar untuk sambungan pada peralatan komputer dan peralatan elektrik lain.
Author: Syd Time: 24-9-2007 14:54
Kamar tidur anak berbeza ikut usia
Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)
FAKTOR utama merancang kamar tidur anak ialah keselamatan dan keselesaan.
Bilik tidur kanak-kanak perlu bersifat dinamis serta mengikut perkembangan
KAMAR tidur anak adalah ruang yang tidak kurang pentingnya kerana anak-anak memerlukan ruang privasi bagi membolehkan mereka menikmati aktiviti seperti bermain, berehat dan tidur tanpa gangguan.
Kamar tidur ini perlu disediakan perabot, kelengkapan permainan yang semuanya khusus untuk peringkat kanak-kanak dari segi bentuk, bahan, ukuran dan juga pemilihan warna.
Perkembangan kanak-kanak berbeza mengikut usia, begitu juga dengan ruang mereka. Oleh itu, penyediaan ruang kamar tidur mereka berbeza mengikut usia dan menyesuaikan dengan keperluan. Penyediaan ruang mestilah bersifat dinamis dan mengikuti perkembangan anak-anak bagi memenuhi pertumbuhan mereka.
Berdasarkan kepada perkembangan usia anak-anak, ruang tidur juga berbeza dan dikategorikan kepada empat peringkat:
Ruang tidur bayi.
BILIK tidur kanak-kanak perlu guna warna terang.
Ruang tidur peringkat usia ini hanya berfungsi untuk tidur kerana pada peringkat ini mereka tidak boleh melakukan apa-apa aktiviti selain dari tidur, menyusu dan menangis.
Kebiasaannya, ruang ini memerlukan dua jenis perabot iaitu perabot untuk bayi seperti tempat tidurnya, almari pakaian dan peralatan serta perabot untuk orang dewasa. Ini kerana pada peringkat ini mereka masih tidur bersama penjaganya.
Ruang tidur kanak-kanak peringkat usia satu hingga enam tahun.
Ruang tidur peringkat usia ini, selain daripada tidur, biasanya digunakan untuk bermain kerana kanak-kanak sudah boleh melakukan kegiatan seperti berjalan, berlari dan memanjat. Dengan aktiviti itu, ruang tidur mestilah dapat menyediakan kemudahan yang membolehkan bergerak dengan selesa.
Ruang tidur kanak-kanak peringkat usia enam hingga 12 tahun.
Ruang tidur peringkat ini biasanya digunakan untuk belajar dan bermain. Selalunya, mereka mempunyai banyak aktiviti apabila berada di peringkat sekolah. Ruang perlu dilengkapi dengan perabot dan keperluan lain bagi mendukung kegiatan anak serta membantu mereka mengekspresikan diri seperti menampal poster pemain bola atau apa saja idola yang menjadi minat mereka.
Selain tempat tidur, ruang ini perlu dilengkapi meja belajar yang sempurna bagi memudah mereka belajar. Oleh kerana mereka sudah memasuki alam baligh, sebaiknya dipisahkan ruang ini antara anak lelaki dan perempuan.
Ruang tidur kanak-kanak peringkat pra-remaja dan remaja.
Pada peringkat usia ini kanak-kanak mula meningkat dewasa dan kegiatannya mula tertumpu kepada minat dan hobi. Kegiatan bermain hanya dilakukan di luar rumah.
Anak pra-remaja memerlukan keperluan perabot dan ruang penyimpanan yang besar kerana mereka mempunyai peralatan dan simpanan koleksi hobi yang jika tidak disusun atur dengan baik akan membuatkan ruang kelihatan semak.
Selain itu, meja belajar mestilah selesa dan sesuai bagi membantu memberi tumpuan menghadapi peperiksaan seperti PMR dan SPM.
Mereka bentuk dan merancang ruang kanak-kanak
Keupayaan mereka bentuk ruang kanak-kanak adalah impian setiap penjaga dan ibu bapa. Ibu bapa mana yang tidak mahu mereka bentuk dan merancang ruang anak kesayangan mereka bagi melihat mereka membesar dengan ruang selesa.
Setiap ibu bapa pasti berasa amat bahagia dan gembira melihat perkembangan pembesaran anak-anak mereka berdasarkan kepada perubahan pada ruang bilik atau kamar tidur mereka.
Ruang kanak-kanak perlu dikemaskini dari segi dekorasi reka bentuk dan perancangan ruang sekurang-kurangnya tiga kali sepanjang tempoh pembesarannya di rumah.
Ia bermula dari kanak-kanak peringkat bayi sehingga menjadi remaja. Ruang kanak-kanak perlu dirancang mengikut kesesuaian perkembangan fizikal dan minda mereka. Dua perkara perlu ditekan iaitu ruang dan kandungannya.
Dalam ruang, kanak-kanak pra-sekolah memerlukan bilik yang luas untuk aktiviti fizikal spontan. Oleh itu lantai mestilah lapang tanpa halangan. Bagi mereka yang bersekolah pula, mereka mula diorientasi kepada tugas spesifik dan memerlukan perabot yang mempunyai fungsi.
Seterusnya apabila kanak-kanak semakin membesar ruang lantai semakin kurang kerana keluasan lantai digunakan untuk meletakkan perabot yang diperlukan oleh mereka.
Ruang kanak-kanak seharusnya mengikut pelbagai fungsi berdasarkan keperluan menyediakan kawasan berasingan untuk tidur, bermain dan belajar membenarkan setiap aktiviti dapat dilakukan secara efektif. Selain itu membantu ruang kelihatan menjadi lebih kemas dan teratur.
Faktor paling utama dalam merancang ruang kanak-kanak adalah memastikan ruang berkenaan selamat dan sihat. Pastikan ruang mempunyai aliran ventilasi yang sempurna dan tidak terdedah kepada punca kecelakaan dan kecederaan.
Pergerakan dan aktiviti kanak-kanak yang kasar dan lasak memerlukan bahan kemasan dan perabot yang digunakan juga tahan lasak, mudah dibersihkan dan tidak menyebabkan kecederaan.
Warna memainkan peranan penting dalam mereka bentuk ruang kanak-kanak yang berjaya. Gunakan warna terang supaya dapat merangsangkan minda dan pergerakan mereka. Warna menarik dengan lukisan mural pada dinding akan membantu menggalakkan kreativiti kanak-kanak.
Pemilihan perabot yang sesuai dengan saiz ketinggian fizikal mereka amat penting supaya kanak-kanak tidak menjadi mangsa. Perabot seharusnya ringan dan mudah alih supaya boleh dialih mengikut kehendak mood dan aktiviti.
Terdapat perabot yang direka bentuk menyerupai bentuk tertentu supaya menarik minat kanak-kanak dan membantu membentuk imaginasi yang tinggi.
Dalam mereka bentuk dan merancang ruang kanak-kanak, kepuasan antara ibu bapa dan kanak-kanak adalah penting. Ruang berkenaan mestilah jelas milik anak-anak bukan ruang yang terpaksa dikongsi pula dengan orang dewasa.
Selain itu, ruang berkenaan tidak asing kepada ruang yang ada di dalam rumah. Kehidupan kanak-kanak penuh dengan perubahan dan perkembangan. Oleh itu, ruang mereka seharusnya melambangkan bentuk positif, imiginatif dan kreatif.
Author: Syd Time: 1-10-2007 11:41
Perabot kamar tidur perlu selesa
Oleh Hamidon Abdullah
BELANJA wang lebih untuk keselesaan tubuh kita.
Susunan secara bijak, utama keperluan asas wujud suasana lebih nyaman
SELEPAS kita membincangkan jenis kamar tidur, sekarang kita membincangkan pula pengisian kamar tidur dari segi pilihan asas seperti perabot almari baju, meja solek, katil serta tilam.
Kamar tidur paling selesa menggabungkan keperluan asas dengan sempurna selain daripada susun atur serta perancangan ruang yang baik.
Ada banyak jenis perabot almari yang sesuai dengan keperluan kamar tidur. Setiap kamar mesti dilengkapi almari baju atau rak baju. Bilangannya saja yang berbeza mengikut keperluan pengguna dan saiz kamar tidur. Ada beberapa jenis perabot almari yang biasa digunakan. Antaranya:
Almari dan rak baju jenis terasing
Almari ini jenis mudah alih, binaannya tidak kekal. Pengguna boleh dapat banyak pilihan kerana boleh didapati di kedai perabot. Saiznya standard dan pengguna biasanya diberi set yang sama dari segi warna, kemasan, reka bentuk dengan katil dan meja solek.
TILAM yang baik menyokong badan kita ketika tidur.
Almari dan rak baju jenis bina kekal
Almari jenis ini pula adalah dari jenis binaan kekal dan pengguna dapat mengguna ruang dinding yang ada dan ketinggian siling untuk membina almari. Binaan kekal ini memberi banyak pilihan dari bilangan rak dan tempat penyimpanan kerana pengguna boleh merancang dan meminta juru reka menyediakan keperluan diperlukan dan reka bentuk sesuai dengan tabiat pengguna.
Bagi mereka yang mempunyai kamar tidur mewah biasanya mengasingkan kamar tidur dengan ruang almari pakaian. Ruang jenis ini dikhususkan untuk menyimpan segala pakaian dan peralatan lain seperti kasut, beg dan lain-lain aksesori.
Meja solek
Meja solek antara keperluan perabot dalam kamar tidur yang tidak kurang pentingnya. Fungsinya adalah untuk bersolek dan meletak peralatan bersolek dan bahan pewangi serta lain koleksi.
Ada banyak pilihan katil yang digunakan dalam kamar tidur antaranya katil divan, katil kerangka dan katil sofa. Semuanya ada gaya dan fungsi tersendiri. Katil divan didatangkan dengan tilam dan pelantar atau platform, katil kerangka pula mempunyai berbagai gaya, bentuk dan bahan menarik manakala katil sofa pula penuh dengan dua fungsi dan digunakan untuk menghasilkan ruang lebih efisien.
Jenis-jenis katil
Katil Divan
Katil jenis ini mempunyai asas berspring sepenuhnya yang memberi keselesaan tidak terhingga ketika tidur. Untuk mereka yang menyukai katil kerangka besar tetapi kelihatan menyemakkan bilik, katil jenis divan adalah pilihan terbaik.
Sebagai tambahan untuk mencantikkan dinding pada kepala katil, kepala katil boleh direka bentuk dengan menghias mengikut tema reka bentuk bilik tidur. Cara hiasan ini banyak digunakan pada bilik hotel dan resort.
Katil kerangka
Katil jenis ini amat popular kerana banyak digunakan pada rumah kediaman. Kerangka katil paling baik adalah kerangka yang fleksibel dan dapat menyokong apa juga tilam.
Selain kerangka besi, kerangka kayu dari kayu keras adalah kuat dan tahan lasak tetapi amat berat serta kelihatan besar.
Katil sofa
Katil sofa semakin popular ketika ini dan direkabentuk dengan pelbagai reka bentuk menarik. Gaya hidup sekarang yang serba ringkas dan dengan keluasan lantai bilik terhad menjadikan katil sofa sebagai pilihan dan mudah diselenggara. Selain itu, ia boleh diguna sebagai tambahan unit katil di dalam bilik tetamu
Sistem kontruksi kerangka mestilah kuat kerana katil sofa akan digunakan berulang-ulang iaitu sebagai tempat duduk pada siang hari dan menjadi katil pada waktu malam
Kerangka besi dari kemasan powder coated adalah bahan yang amat sesuai kerana kuat dan tahan lasak. Lebih baik jika katil sofa itu mempunyai roda kerana mudah di alih.
Pemilihan tilam dan katil
Pemilihan jenis katil berdasarkan pilihan dan rujukan pengguna. Pengguna akan membuat pilihan berdasarkan cita rasa dan gaya sesuatu bilik tidur yang hendak dihias. Pemilihan katil yang baik dan perabot sesuai dapat membantu menjadikan kamar tidur selesa.
Kadangkala kita tidak memberi pilihan yang bijak dalam bilik tidur kita kerana biasanya pemilihan tilam adalah pilihan terakhir kita buat sedangkan tilam perabot paling penting yang memberi kesan kepada kesihatan tubuh badan.
Walaupun kita hanya menghabiskan sekurang-kurangnya suku dari masa hidup kita sehari di bilik tidur tetapi kita selalunya kurang memberi perhatian dan bajet daripada apa berikan pada perabot sofa dan meja makan.
Sebuah tilam yang baik boleh bertahan sehingga 10 tahun berbanding perabot lain yang hanya boleh bertahan separuh daripada tempoh berkenaan.
Tilam yang tidak sempurna akan menyebabkan kesakitan tubuh badan dan tengkuk selain menyebabkan tidur tidak nyenyak. Seperti yang kita tahu tidur yang tidak sempurna menyebabkan kita hilang mood, tertekan dan hilang tumpuan pada keesokan harinya. Oleh itu, masalah berkenaan dapat diatasi dengan mendapat tilam yang baik dan sempurna untuk tubuh badan.
Cara mendapat tilam yang baik.
Ujian kepadatan
Tilam yang lembut menyebabkan anda merasa selesa pada pertama kali anda gunakan tetapi pada keesokannya anda akan merasakan badan anda terasa sakit kerana tilam yang baik mempunyai kepadatan yang seharusnya mendukung badan anda dengan penuh sokongan dan dengan itu badan anda tidak melentur ke bawah.
Ujian keselesaan
Pastikan tilam yang menjadi pilihan akan memberi keselesaan sepenuhnya kerana tilam itu memberi kesan kepada kesihatan badan anda. Oleh itu cuba baring dan rasakan keselesaannya sebelum anda membuat keputusan untuk membelinya.
Ujian sokongan
Anda tahu apa yang anda mahu. Jangan biarkan jurujual yang menentukan kehendak anda. Dapatkan jaminan dari pengeluar tilam mengenai kelebihan tilam yang diiklankan
Positif mengenai harga
Ingat bahawa tilam yang dibeli akan digunakan dalam jangka masa 10 tahun akan datang dan tilam ini yang menenangkan kita dari kesibukan dan keletihan sepanjang hari. Jangan dapatkan tilam yang murah,.. dapatkan yang berkualiti kerana tilam murah mudah nipis, kurang kepadatan dan dibuat secara tidak berkualiti.
Beli yang baru
Jangan sesekali beli tilam yang sudah dipakai. Tilam biasanya akan disesuaikan dengan pengguna pertama. Oleh itu, tilam berkenaan sudah terbentuk kepadatan mengikut pengguna pertama dan tidak mungkin ia boleh mengikut bentuk badan anda. Selain itu, kemungkinan tilam berkenaan dihinggapi bakteria atau pijat.
Untuk memilih tilam yang baik, berunding dengan profesional atau jurujual yang mahir dengan produk dijual. Pastikan jenis tilam dalam pasaran seperti jenis poket spring yang baik untuk orang sakit bahagian belakang badan atau jenis koil terbuka yang kurang dari segi harga. Menggunakan tilam jenis latex dan foam juga pilihan terbaik untuk mereka yang alah kepada habuk dan hama.
Author: Syd Time: 7-10-2007 11:32
3 elemen serikan rumah
USAHA menghias kediaman lebih bermakna jika anda memperuntukkan bajet tertentu bagi mengelak pembaziran.
Kebijaksanaan menghias ruang dengan warna dinding, perabot dan perhiasan sedia ada secara kreatif mampu menjimatkan perbelanjaan.
Pemilihan tepat tiga elemen utama iaitu teknik pencahayaan, warna dinding dan perabot mampu menghasilkan kesan menarik.
Teknik pencahayaan yang sesuai penting untuk melahirkan suasana pelengkap konsep hiasan dalaman anda.
Lampu kuning perlu diselenggarakan sebaik mungkin untuk menghidupkan ruang dan gabungan sumber cahaya kuning serta putih pula mewujudkan senario berbeza.
Biasanya cahaya putih digunakan pada siling berlekuk dan dinding tumpu sementara lilin juga boleh dijadikan salah satu sumber cahaya yang menarik.
Bagi kemasan dinding pula, anda tidak perlu mengecat keseluruhan dinding, memadai sebahagian saja sebagai titik tumpuan.
Warna cerah dan terang boleh digunakan untuk memberikan kesan lebih luas dan pastikan ia yang dipilih kelihatan menarik dan bertenaga.
Dua tona warna berbeza disarankan untuk ruang tamu manakala ruang makan lebih sesuai ditampilkan warna terang dan lembut bagi menaikkan seri suasana.
Di bilik tidur, hanya satu dinding sesuai dicat dengan warna terang, iaitu dinding pertama yang dilihat apabila pintu dibuka.
Perhiasan seperti bantal hiasan, sarung sofa, fabrik langsir, jambangan bunga antara elemen penting yang mampu menyuntik keindahan semula jadi.
Gunakan warna terang untuk sarung bantal hiasan dan sarung sofa bagi mewujudkan suasana ceria.
Selarikan warna fabrik langsir dan sarung sofa bagi menghasilkan sentuhan menarik dan mempesonakan.
Jambangan bunga hidup tona terang ada kalanya mengilhamkan ketenangan dan sesuai diletakkan pada ruang tertentu seperti ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur.
Author: Syd Time: 7-10-2007 11:49
Bina, ubah suai dapur perlu perancangan teliti
Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)
GAYA rekaan dapur berubah mengikut keadaan.
Reka bentuk dapur hendaklah sesuai dengan cara hidup, inspirasi gaya yang dikehendaki
PERANCANGAN pembentukan sebuah ruang dapur berhubung rapat dengan budaya dapur amalan keluarga kita sendiri. Maka tidak ada satu jawapan untuk semua keluarga. Setiap keluarga mempunyai keperluan yang unik.
Dari segi teknikal, lazimnya ada kehendak standard. Kita sebagai pengguna dapur sendiri jangan terlalu terikut-ikut dengan orang lain.
Latar belakang dapur masyarakat Malaysia
Sebagai orang Melayu, saya lebih merujuk kepada amalan budaya masyarakat Melayu tradisi. Antara perkara yang dititikberatkan adalah upacara keramaian di rumah. Contohnya, kenduri, perkahwinan, kematian dan hari raya.
Upacara begini sering mencabar keberkesanan perancangan ruang dapur dan ruang makan. Ini kerana silap mengatur laluan trafik akan menyebabkan kesesakan lalu-lintas dan menjejaskan upacara berkenaan.
RUANG dapur perlu praktikal.
KEBERSIHAN dapur perlu dititikberatkan.
Dalam masyarakat Melayu tradisional, dapur dikhaskan untuk wanita. Dulu, wanita adalah suri rumah, maka banyak masa dihabiskan di situ untuk menjalankan pelbagai aktiviti domestik tetapi sekarang tidak janggal golongan lelaki ke dapur untuk membantu isteri.
Pada hari ini, dapur sudah banyak melalui perkembangan dari aspek reka bentuk dan perancangannya. Pada zaman kolonial British dulu rumah ibu dan dapur mempunyai definisi yang jelas kerana dibezakan aras dan kedudukannya.
Dapur rumah bangunan kolonial biasanya mempunyai kawasan bertutup dan terbuka yang disatukan. Ini sebenarnya sangat praktikal dan menarik.
Kedudukan ruang dapur masyarakat hari ini
Hari ini, dapur moden mengalami satu masalah yang lazim iaitu keluasan terhad terutama di rumah teres dan apartmen tetapi aktiviti dapur tetap sama. Di situlah kita memasak, mencuci pinggan-mangkuk, mencuci baju dan menjemur pakaian.
Di kawasan yang kecil itu juga hendak bercucuk tanam menghasilkan taman herba atau taman mini. Sebenarnya jika dirancang dengan baik dan bijak, ia akan menjadi ruang paling digemari keluarga.
Namun, perancangan yang baik ini harus disesuaikan budaya dapur kita. Dapur yang moden dan canggih sekalipun, jika penggunanya tidak bersih, tidak rajin berkemas, kasar dan tidak mengikut peraturan, dapurnya pasti menjadi buruk juga.
Jadi, dalam merancang reka bentuk dapur, ia perlu disertakan dengan perubahan amalan budaya dapur yang menekankan aplikasi sistem yang berkesan dan praktikal.
Seperti yang saya sebutkan tadi, aktiviti mencuci pakaian dan menjemur baju juga dilakukan di dapur. Kawasan luaran yang sedikit di belakang rumah dimanfaatkan sebagai tempat menyidai pakaian dan ini merosakkan pemandangan indah seni bina rumah kita.
Namun, tidak dapat dielakkan mengikut pengakuan sebilangan suri rumah bahawa ruang yang ada itu menempatkan semua aktiviti berkenaan. Jadi, kesimpulan yang dapat dibuat ialah suasana dapur menarik dan selesa banyak bergantung kepada tradisi amalan dapur kita.
Di sini boleh saya katakan bahawa reka bentuk atau hiasan dalaman bukan hanya menekankan nilai estetik semata-mata, tetapi membentuk disiplin diri ahli keluarga dan memperbaiki kualiti hidup sesebuah keluarga.
Perkembangan dapur pada hari ini
Tugas dapur berubah secara dramatik pada 20 atau 30 tahun lalu. Dari berfungsi secara asas sebagai tempat yang hanya menyedia dan menyiapkan makanan untuk keluarga menjadi ruang pelbagai fungsi seperti penyimpanan makanan kepada penyediaan makanan dan sebagai ruang keluarga.
Pertukaran cara hidup dan teknologi banyak mempengaruhi cara dapur berfungsi. Dengan adanya peralatan dapur canggih dan mesra pengguna membuat cara dan gaya memasak berubah. Dengan adanya peti sejuk besar, sekarang ini masyarakat hanya perlu berbelanja di pasar hanya sekali seminggu.
Cara penyediaan makanan juga berubah, penggunaan makanan segera dan perencah segera semakin popular bagi remaja dan bagi golongan keluarga kecil yang sibuk yang tidak mempunyai masa untuk menyediakan makanan secara biasa. Sejak kebelakangan ini penggunaan ketuhar mikro amat diperlu bagi mempercepatkan aktiviti memasak berbanding cara biasa.
Perancangan ruang
Bagi kebanyakan tempat, dapur menjadi pusat dalam rumah dan aktiviti domestik. Kurangnya makan secara tradisional yang mana makan secara formal menyebabkan dapur menjadi ruang bersama antara ruang makan dan ruang tamu. Ini menyebabkan dekorasi dapur menjadi penting sama seperti ruang tamu..
Kediaman moden juga bertukar menjadi konsep perancangan terbuka yang mana hanya sedikit atau tiada langsung pembahagian ruang dalam rumah. Dengan cara itu, dapur tidak lagi berfungsi tunggal malah sebagai pusat bagi keseluruhan perancangan dan skima reka bentuk kediaman.
Tip membuat perancangan dapur
Ruang makan dan dapur haruslah mempunyai perhubungan laluan dari dalam dan luar. Sekiranya ada keramaian, dua laluan ini akan menentukan kelancaran aliran trafik.
Aktiviti basah seperti mencuci pinggan, memotong sayur dan ikan serta aktiviti memasak haruslah didefinisikan kawasannya dengan jelas. Aktiviti yang awal disebut tadi lebih baik sekiranya dihubungkan terus dengan ruang luar rumah.
Rak untuk menyimpan barang-barang dapur haruslah terancang dan mencukupi. Senaraikan barangan keperluan dapur mengikut kategori penggunaannya agar keputusan jumlah rak terbuka, rak tertutup, laci dan kedudukannya dirancang dengan berkesan.
Gunakan pintu berkembar yang boleh dibuka luas apabila ada aktiviti keramaian serta tingkap yang strategik untuk peredaran udara yang berkesan. Tidak semestinya pembukaan itu banyak. Peredaran, udara berlaku apabila ada laluan angin masuk dan laluan angin keluar yang jelas dan kedudukan bukaan adalah betul. Jika perlu, gunakan kipas penyedut untuk membantu peredaran udara.
Jika berkemampuan, gunakan mesin basuh dan mesin pengering baju untuk mengurangkan ruang penyidai baju. Walaupun ramai antara kita yang gemar mengeringkan baju secara semula jadi dibandingkan dengan mesin pengering baju, sebenarnya, perbezaan ini hanya sedikit dan secara psikologi kita rasa baju yang dikeringkan matahari lebih sedap dipakai.
Ruang luaran yang kecil dan sedikit boleh dijadikan taman untuk dinikmati dari ruang makan dan ruang dapur. Di sini juga, terletaknya pintu pagar belakang untuk tujuan pembersihan rumah seperti pembuangan sampah dan sebagainya.
Bahan dan aksesori
Perkembangan bahan dan kemasan serta aksesori menyaksikan perkembangan reka bentuk dapur menjadi menarik. Ketika ini, pengguna mempunyai banyak pilihan daripada hanya kemasan seperti jubin seramik dan kemasan cat yang digunakan sebagai bahan kemasan.
Hari ini dapat dilihat pelbagai penggunaan bahan kemasan yang menarik seperti bahan besi tanpa karat, kaca, laminate kayu berwarna dan plastik tahan lasak. Semua kemasan ini amat sesuai kerana mempunyai ciri tahan lasak, kuat, serta amat tahan untuk kegunaan harian di dapur.
Aksesori pula berfungsi memudahkan susunan peralatan dapur supaya lebih teratur dan kemas. Aksesori yang menarik menambah lagi gaya reka bentuk dapur.
Gaya reka bentuk
Gaya reka bentuk dapur juga amat dinamik seperti gaya fesyen pakaian. Hari ini kita dapat melihat banyak pilihan reka bentuk boleh diperoleh sama ada daripada majalah, buku atau bilik pameran gaya dan stail reka bentuk dapur.
Sekiranya anda ingin mereka bentuk dapur sama ada dari peringkat asas, pengubahsuaian yang lama atau merancang semula sangat baik. Anda perlu bersedia dan terbuka dalam menerima apa juga cadangan yang dicadangkan oleh pakar terutama bahagian teknikal seperti pemasangan dan pendawaian.
Pembacaan dan penelitian serta rujukan mengenai dapur akan membantu anda mengumpul segala maklumat yang diperlukan untuk melaksana dan menggunakan dapur sebagai rutin dan tugas seharian.
Perancangan reka bentuk dan kos
Membina atau mengubah dapur adalah projek yang memerlukan perancangan teliti dan ketika pelaksanaan kerja akan berubah-ubah kerana pemilik tidak yakin apa yang dikehendaki dan perubahan ini akan membabitkan kos.
Berbanding dengan kerja membaiki atau menukar unit pintu yang mana kerja dilakukan hanya menggunakan bajet terhad maka hendaklah berhati-hati dengan tambahan kos dan kos yang tersembunyi. Oleh itu, perlu ada dana untuk menampung kos berkenaan.
Teknologi
Selain kos yang perlu dititik berat, ada beberapa perkara yang perlu difikirkan dari segi praktikaliti, keselamatan dan kebersihan yang perlu diketahui oleh pengguna dapur. Keperluan dapur banyak membantu memudahkan kerja menyedia dan memasak makanan.
Kemajuan teknikal berlaku cepat dan adalah baik untuk mengambil masa meneliti produk keperluan dapur yang ada dalam pasaran sama ada keluaran terbaru sebagai pilihan. Adalah baik mengetahui tahap jaminan, kelasakan dan jangka hayat produk keperluan dapur berkenaan ketika membeli.
Jangan terpengaruh dengan trend dan reka bentuk dapur terkini - fikirkan mengenai praktikaliti. Binalah dapur yang sesuai dengan cara hidup dan juga inspirasi gaya yang diidamkan. Paling penting anda berasakan seperti rumah sendiri yang mana anda selesa dan praktikal untuk bekerja.
Author: Syd Time: 7-10-2007 11:52
Serikan ruang makan
LUANGKAN masa untuk mengemas dan menghias ruang makan kediaman anda kerana ia menjadi tempat utama meraikan kehadiran tetamu sempena Aidilfi tri yang bakal menjelang tiba. Tanpa perlu mengupah pakar hiasan dalaman, hakikatnya anda boleh melakukan sendiri pengubahsuaian mengikut cita rasa dan kreativiti.
LUANGKAN masa untuk mengemas dan menghias ruang makan kediaman anda kerana ia menjadi tempat utama meraikan kehadiran tetamu sempena Aidilfi tri yang bakal menjelang tiba.
Tanpa perlu mengupah pakar hiasan dalaman, hakikatnya anda boleh melakukan sendiri pengubahsuaian mengikut cita rasa dan kreativiti.
Perabot seperti meja makan tidak perlu dibeli baru, memadai dengan menukar alas meja atau balut dengan plastik berwarna.
Penggunaan alas berfabrik organza dan nipis juga mampu menarik perhatian dan secara tidak langsung menyuntik suasana berbeza di ruang makan anda.
Hiasan seperti pemandangan dan bunga kering yang dilapik dengan kaca sama dengan ukuran permukaan meja.
Dari segi pencahayaan, anda tidak perlu membazir dengan berbelanja besar untuk membeli lampu meja makan yang mahal.
Cukup sekadar lampu gantung atau berterendak aneka warna. Jika ingin mewujudkan suasana romantis, pasangkan lilin di atas meja.
Bagi hiasan lilin aneka warna dan reka bentuk mampu mengubah suasana persekitaran ruang makan. Susun buah- buahan dalam bekas yang menarik menaikkan seri ruang makan dan menceriakan tetamu yang datang.
Sementara itu gubahan bunga segar kelihatan lebih semula jadi dan mendamaikan dan pastikan ia sesuai dengan warna dinding serta hiasan meja lain.
Bagi memberikan kesan lebih mempesonakan, anda dicadangkan meletakkan gubahan bunga segar tadi dalam bekas kaca telus.
Perlu diingat bahawa bunga atas meja tidak sesuai digubah dalam bentuk yang tinggi tetapi memanjang.
Dalam menyerikan ruang makan dengan aksesori tambahan, pokok bunga segar boleh diletakkan pada penjuru ruang berkenaan.
Bagaimanapun, penggunaan langsir nipis atau bidai juga sesuai untuk ruang makan yang dilengkapi tingkap.
Dalam keghairahan meraikan tetamu, jangan meletakkan terlampau banyak makanan di atas meja hingga mengganggu keselesaan menjamu selera.
Author: Syd Time: 4-11-2007 13:24
Panduan menyerlahkan keindahan kamar beradu
INGINKAN bilik tidur kelihatan menarik dan nyaman sentiasa? Di sini ada beberapa langkah untuk menyerlahkan lagi penampilan bilik tidur:
Jika bercadang menghias bilik, lebih baik membeli cadar selepas bilik dicat. Pilihlah cadar mengikut keserasian atau konsep warna bilik supaya keseragaman warna menjadikan bilik nyaman.
Jika membeli cadar sebelum mengecat bilik, jalan paling selamat ialah dengan membeli cadar putih atau polos. Bagi menaikkan seri boleh diletakkan bantal kecil berwarna-warni.
Elakkan cat warna terang seperti oren, merah muda atau hijau pucuk pisang untuk dinding bilik tidur. Pilihlah warna lembut yang boleh mendatangkan kesan harmoni.
Gandingkan cadar polos dengan sarung bantal berjalur atau corak kotak bagi menyerlahkan penampilan. Corak ini juga sentiasa segar dan tidak lapuk ditelan zaman.
Jangan pilih cadar bercorak besar jika bilik tidur kecil. Ia membuatkan bilik tampak sempit dan sesak. Sebaliknya, pilih cadar berwarna cerah dan bercorak kecil.
Cadar warna gelap menyerap cahaya dan tampak berseri pada waktu malam.
Cadar juga mengalami perubahan gaya. Untuk selamat, pilih cadar yang bersifat klasik kerana cadar seumpama ini tidak ditelan peredaran masa atau gaya. Jika memilih cadar mengikut peredaran zaman, anda terpaksa berbelanja lebih membeli cadar baru apabila musim bertukar.
Susun kusyen kecil beraneka warna di atas bantal tetapi pastikan ia tidak dibawa tidur untuk mengelakkan ia daripada kotor.
Anda boleh menggubah jambangan bunga kecil yang sesuai diletakkan di atas katil sebagai penyeri.
Elakkan daripada menggunakan cadar, sarung bantal dan sarung kusyen warna atau corak senada kerana ia memberikan kesan yang agak membosankan.
Author: Syd Time: 4-11-2007 13:25
Panduan menjaga fabrik putih
FABRIK warna putih sering menjadi pilihan pemilik kediaman untuk menghias bilik tidur kerana ia melambangkan kebersihan, kesucian dan kemurnian. Warna itu juga senang dan sesuai untuk digandingkan dengan apa juga warna perabot jika dijadikan pilihan.
Jika diperhatikan kebanyakan hotel atau rumah rehat menggunakan cadar, tuala dan alas meja putih kerana ia mampu membangkitkan suasana tenang dan harmoni.
Namun, tidak ramai sukakan warna ini kerana ia cepat kotor dan susah dijaga tambahan pula jika mempunyai anak yang sedang membesar. Di sini beberapa panduan bagi menjaga fabrik putih supaya sentiasa bersih dan berseri.
Cuci fabrik putih berasingan dengan pakaian berwarna dalam air suam dengan putaran sederhana jika menggunakan mesin basuh.
Gunakan hanya separuh daripada sukatan serbuk pencuci yang dicadangkan untuk menghalang kesan kerosakan fabrik pada jangka masa panjang.
Elak menggunakan peluntur berasaskan klorin untuk fabrik putih kerana ia akan melunturkan warna sebenar fabrik. Ia boleh merosakkan jalinan fabrik.
Asingkan mengikut jenis fabrik. Jangan cuci linen daripada kain kapas bersama cadar jenis polyester.
Basuh kain sebelum digunakan untuk kali pertama untuk melembutkan fabrik bagi mendapatkan keselesaan.
Untuk memanjangkan hayat fabrik bilik tidur, sediakan sekurang-kurangnya tiga set cadar dan gunakan secara berselang-seli, satu digunakan, satu dibasuh dan satu set bersih tersedia dalam almari.
Jangan perap cadar yang dibasuh dalam mesin basuh.
Jemur segera sebaik ia selesai dicuci untuk mengelakkan ia daripada berkedut.
Jemur di bawah pancaran matahari kerana cahaya terik adalah agen pemutih fabrik semula jadi.
Jika cadar berkedut, tambahkan secamca besar cuka masakan dengan air. Semburkan campuran ini pada cadar untuk memudahkan kerja menggosok.
Author: Syd Time: 4-11-2007 13:26
Dapur berpulau lebih selesa
Oleh Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)
RUANG luas untuk kerja tambahan antara kelebihan dapur berpulau.
Sinki, tempat memasak dan peti sejuk zon utama tentukan reka letak
SUSUN atur dapur yang praktikal biasanya banyak mengikut keperluan pengguna selain daripada kedudukan ruang dan struktur seni bina yang ada.
Terdapat beberapa susun atur dapur yang praktikal antaranya memanjang pada satu dinding, memanjang pada dua dinding (yang dibincang pada minggu lalu), bentuk L, bentuk U dan bentuk pulau.
Semua susun atur ini mempunyai kelebihan tersendiri. Langkah sebaiknya adalah dengan menggunakan sepenuhnya kelebihan pada susun atur berkenaan untuk memenuhi keperluan harian.
Susun atur yang berkenaan diolah berdasarkan komposisi segi tiga kerja yang menghubungkan zon kerja utama iaitu membasuh (sinki), memasak (dapur) dan tempat menyimpan sumber makanan (peti sejuk).
Pergerakan tiga zon perlu jelas dan dekat bagi menjimat masa pergerakan. Sama ada dapur itu basah atau kering konsep segi tiga kerja mesti digunakan bagi memudahkan tugas memasak.
SUSUNAN ringkas, kemas dapur berbentuk L.
Susun atur dapur bentuk L
Dapur yang bersusun atur bentuk L membentuk segi tiga kerja dengan dinding berdekatan yang mana dinding kabinet panjang dan satu kabinet pendek membentuk huruf L.
Susun atur ini paling popular kerana memerlukan ruang yang sedikit dan menawarkan fleksibiliti dalam ruang kerja. Susun atur begini mudah disesuaikan sama ada ruang kompak, padat atau ruang yang besar yang mana boleh menempatkan meja makan dan ruang duduk.
Susun atur berbentuk L membenarkan meja dan tempat duduk diletakkan tanpa menghalang laluan kerja antara zon aktiviti. Fikirkan di mana harus diletakkan tingkap dan pintu kerana ini akan menentukan kedudukan terbaik untuk kawasan aktiviti.
Untuk keselamatan elak daripada meletakkan zon memasak berdekatan bukaan pintu. Jika boleh rancang, letakkan peti sejuk pada kedudukan bahagian hujung berdekatan pintu bagi memudahkan barang dibawa masuk.
Sudut L pada kabinet adalah bahagian yang amat sukar untuk dicapai dan sukar dilihat. Laci pula hanya boleh dibuka pada sesuatu masa saja. Bagi menyelesaikan masalah ini dan untuk membolehkan ia digunakan adalah dengan menggunakan bekas pusing keluar dan rak berputar.
Alternatif lain seperti meletak sinki atau hob secara menyerong dan ini boleh melahirkan titik fokus pada dapur.
Sangat baik membenarkan seberapa banyak cahaya semula jadi ke ruang dapur. Ini mungkin menjadi masalah jika dinding bersebelahan tingkap memerlukan kabinet. Cara mengatasi masalah ini dengan membina kabinet atas yang tirus dan terbuka supaya tidak menghalang cahaya memasuki ruang.
Susun atur dapur berbentuk U
Dengan menyusun kedudukan elemen dapur berbentuk U, kabinet dan kelengkapan dapur diletakkan pada kedudukan tiga bahagian dengan bukaan pada satu bahagian saja.
Susun atur ini sangat sesuai sama ada pada dapur besar atau kecil dengan menyediakan setiap sudut untuk digunakan dan lebih menarik jika satu bahagian kaunter terbuka disediakan.
Merancang satu ruang kerja yang efisien dengan susun atur berbentuk U ini akan menimbulkan masalah terutama pada ruang dapur yang sederhana saiznya. Kesannya mungkin tidak terasa jika pergerakan hanya beberapa langkah saja dari zon aktiviti dalam segi tiga kerja.
Untuk memaksimumkan ruang efisien dalam ruang berbentuk U yang besar, pastikan meletakkan kelengkapan dapur utama seperti ketuhar, sinki dan peti sejuk antara segi tiga kerja di mana setiap kelengkapan terletak antara tiga meter satu sama lain.
Ini akan menolong mengurangkan jumlah masa dan tenaga yang mungkin digunakan untuk bergerak menyeberangi ruang apabila bekerja pada jangka masa panjang.
Apabila merancang susun atur kedudukan hob dan ketuhar hendaklah diletakkan di tengah permukaan kerja. Kelengkapan ini seharusnya berada jauh dari pintu masuk atau sudut ruang supaya laluan keluar masuk bebas daripada gangguan.
Begitu juga dengan kedudukan peti sejuk yang seeloknya diletakkan pada bahagian penghujung kabinet di bahagian luar supaya penghuni rumah yang lain dapat mengambil minuman sejuk dan makanan dari peti sejuk tanpa menghalang laluan kerja.
Ruang dapur berbentuk U yang besar boleh menempatkan meja tengah untuk dijadikan meja makan. Ruang begini hanya boleh dilakukan pada dapur kering yang digunakan untuk kerja tidak membabitkan kerja memasak secara aktif.
Tip dapur L dan U yang praktikal
Lantai dapur semestinya tahan lasak, tidak licin dan mudah dibersihkan. Permukaannya rata dan tidak membahayakan. Meletakkan tikar akan menjadikan dapur lebih menarik.
Sumber cahaya tambahan amat perlu untuk membantu menerangkan kawasan kerja dan sekitarnya. Sistem operasi suis lampu berasingan dengan ruang makan perlu bagi memberi pilihan untuk menyediakan suasana berbeza antara dapur dan ruang makan.
Susun atur L boleh membentuk meja sarapan ala kaunter yang menggunakan kaki beroda yang mana kaki meja kaunter diikat jauh dari bucu meja. Dengan ini, kerusi boleh ditolak ke bawah meja apabila tidak digunakan.
Susun atur dapur berbentuk pulau
Dapur yang berbentuk pulau adalah tempat kerja efisen yang menggabungkan pelbagai aktiviti di dalam satu kawasan. Konsep yang agak terbuka membolehkan hubungan kekeluargaan dibangunkan untuk bersama menyediakan makanan.
Rumah banglo dan kondominium mewah kebanyakannya menggunakan konsep ini kerana mempunyai kelebihan ruang dapur luas. Dengan ruang luas mengizinkan kehadiran konsep pulau dalam reka bentuk dapur.
Bagi pemilik pangsapuri pula berpeluang menggunakan konsep ini jika bijak menyesuaikan kedudukan ruang dapur yang terhad. Secara ringkasnya dapur berbentuk pulau ini bermaksud satu ruang kerja tambahan seperti sebuah meja yang terletak di tengah-tengah ruang dapur.
Satu kelebihan susun atur berbentuk pulau ini adalah ia dapat menyediakan ruang yang luas untuk dua orang bergerak bebas di sekitar dapur kerana pulau di tengah-tengah boleh digunakan dari semua arah.
Ia juga membolehkan orang yang memasak menghadap ke ruang sekitarnya dan boleh bersama berbual dan bercakap berbanding dengan susun atur dapur lain yang mengasing ruang dapur dengan ruang lain.
Bilangan kelengkapan dan ruang simpanan dapur berpulau ini adalah pilihan persendirian bergantung kepada keperluan individu. Begitu juga dengan ketinggian, permukaan kerja seeloknya mempunyai dua ketinggian berbeza, kerana ada aktiviti dapur memerlukan permukaan kerja yang rendah.
Pemilihan bahan kemasan juga penting untuk diambil tahu supaya ia sesuai untuk kerja dapur yang efisien. Bahan kemasan seperti marmar amat sesuai untuk kerja memotong ikan dan membuat kuih.
Ini kerana mudah dibersihkan dan tahan lasak. Selain itu, besi tahan karat boleh diselitkan ke dalam permukaan marmar atau lain-lain permukaan sebagai bahan menahan panas periuk dan kuali tanpa merosakkan permukaan dapur.
Dapur berbentuk pulau ini perlu disediakan dengan kemudahan elektrik, saluran paip dan pembekalan gas. Oleh itu, kemudahan ini perlu mudah diselenggara dengan baik.
Oleh kerana dapur berbentuk pulau ini dijadikan sebahagian daripada kediaman ruang makan dan ruang tamu, ia perlu disediakan sistem pengaliran udara yang secukupnya bagi mengelak bau dan kesan minyak kepada ruang kediaman lain.
INFO: Kelebihan dapur berpulau
MEMPUNYAI dapur yang luas membolehkan pemiliknya membina dapur berpulau untuk kemudahan sekeluarga. Dapur jenis ini lebih praktikal dalam bentuk mudah alih kerana:
Mudah dialih ke posisi yang dikehendaki tanpa halangan
Kedudukan laci dan rak boleh dihalakan ke mana-mana arah bagi memudahkan aktiviti dapur
Kerja-kerja mencuci dan membersih lantai lebih mudah kerana segala kekotoran yang jatuh dari permukaan kerja mudah dicapai apabila membersihnya.
Bahan kemasan permukaan kerja yang sangat popular adalah bahan kayu dan besi tahan karat.
Kayu keras digunakan supaya tahan hentakan ketika memotong dan menghiris manakala besi menampakkan lagi moden.
Bagaimana menjadikan pulau tempat bekerja selesa:
Bucu kaunter perlu dibuat melengkung supaya tidak membahayakan kanak-kanak.
Pastikan soket diletakkan di bahagian sisi tepi pulau bukannya di permukaan kaunter bekerja.
Sinki tahan karat amat digalakkan kerana ketahanannya terhadap air serta mudah dibersihkan.
Tempat penyimpanan yang luas membolehkan banyak barang diletakkan di dalamnya bagi mengelakkan keadaan dapur yang bersepah. Sebaiknya, cari sistem laci yang boleh tertutup rapat secara sendiri.
Pemegang laci yang panjang dan besar memberi keselesaan untuk membukanya.
Tungku binaan dalam berasaskan kaca dan berpermukaan rata adalah disyorkan jika ingin melakukan aktiviti memasak di pulau.
Pastikan jarak antara pulau dan sistem kabinet sedia ada dalam jarak antara 90 sentimeter (sm) hingga 105 sm untuk memudahkan pergerakan atau membuka pintu pulau.
Pulau mudah disuaipadankan dengan sistem kabinet sedia ada mengikut pilihan bahan.
Author: Syd Time: 13-11-2007 10:30
Bilik air jadi ruang terapi minda
Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)
Penampilan, fungsi berubah mengikut masa
BILIK air adalah antara keperluan ruang utama sama seperti ruang tamu, ruang makan, bilik tidur dan dapur. Malah ruang ini sangat penting dari segi fungsinya kerana tanpa ruang ini aktiviti manusia akan menjadi tidak teratur. Aktiviti di ruang ini memerlukan privasi dan pergerakannya peribadi.
Ruang ini dinamakan bilik air kerana binaannya berbentuk bilik yang mana empat dinding mengelilingi dengan satu atau dua pintu.
Oleh kerana binaan ruang ini memerlukan keperluan privasi, binaan tingkap besar tidak sesuai dan hanya bukaan tingkap kecil untuk pengaliran udara dan kemasukan cahaya semula jadi saja diperlukan.
Bilik air biasanya menyediakan sama ada tandas dan bilik mandi. Kebanyakan rumah kediaman hari ini biasanya menyediakan dua keperluan iaitu bilik air dan tandas sekali.
Bagi kediaman mewah, keperluan ini dibuat berasingan dan pelbagai kelengkapan dan aksesori bilik air digunakan yang mempunyai pelbagai fungsi untuk memberi keselesaan kerana pemilik yang beranggapan bilik mandi sebagai tempat terapi memulakan hari mereka.
Keperluan bilik air dulu dan kini
Keperluan bilik air dalam kediaman masyarakat hari ini berbeza daripada masyarakat dulu. Jika dulu masyarakat menganggap bilik air adalah tempat atau ruang yang harus dipisahkan dari bangunan rumah mereka.
Ini kerana bilik air dan tandas adalah tempat bagi membersihkan diri dan membuang najis. Selain daripada itu tuntutan agama dan budaya yang memerlukan aktiviti pembersihan fizikal diri harus dilakukan di luar dan kedudukannya tidak seharusnya menghalakan ke kiblat.
Kemudahan infrastruktur seperti bekalan air bersih yang tidak terdapat pada ketika itu membuatkan masyarakat terpaksa menggali perigi atau membuat kolam takungan air yang puncanya dari air hujan.
Sistem pembetungan dan saliran yang tidak sempurna tidak dibuat secara berpusat menyebabkan penduduk kampung terpaksa membuat sistem pembetungan sendiri yang diletakkan di luar rumah bagi melupuskan sisa buangan.
Keadaan yang tidak bersih ini menyebabkan kerajaan sebelum ini terpaksa menjalankan kempen dan memberi bantuan kewangan kepada penduduk kampung terhadap perlunya tandas yang sempurna dan bersih.
Hari ini, dengan kemudahan sistematik dan pembetungan sempurna kebanyakan rumah kediaman mempunyai kemudahan bekalan air bersih yang baik. Oleh itu, kemudahan bilik air yang baik dan sempurna adalah satu kemestian, tambahan pula dengan taraf gaya hidup semakin meningkat.
Kebanyakan kediaman, binaan bilik air tidak lagi diletakkan di luar terutama bagi penduduk bandar dan taman perumahan. Keperluan bilik air sudah dipertingkatkan dengan setiap rumah harus mempunyai sekurang-kurangnya dua bilik air menempatkan tandas dan bilik mandi.
Ruang minimum satu bilik air dibesarkan dalam keperluan Undang-Undang Kecil Bangunan bagi memberi keselesaan kepada pemilik rumah.
Keperluan bilik air hari ini
Masyarakat hari ini sangat mengambil berat terhadap penampilan bilik air rumah mereka. Bilik air bukan lagi sekadar keperluan. Perubahan budaya hidup hari ini turut memberi dimensi baru kepada fungsi ruang ini.
Jika dulu, tiada siapa mahu berada lama di bilik air atau apabila saja selesai keperluan diri akan segera keluar dari bilik air tetapi keadaan itu berubah dan fungsi bilik air turut berubah dengan bilik air hari ini menjadi ruang terapi minda di dalam rumah.
Melangkah ke bilik air yang bersih dihias indah dapat menenangkan fikiran penghuni, apatah lagi jika bilik air dihias dengan kelengkapan kolam mandi dan jakuzi membolehkan anda berendam untuk mengurangkan ketegangan selepas penat seharian bergelut dengan tugas.
Dengan alasan ini, ramai sanggup mengeluarkan perbelanjaan lebih bagi membesarkan dan melengkapkan bilik air.
Bilik air seharusnya dijadikan tempat yang menenangkan kerana di sinilah tempat kita semuanya memulakan hari dalam mood positif dan hari yang akan lalui nanti dalam keadaan tenang.
Walau apa pun saiz ukuran bilik air yang ada namun peranannya sangat penting bagi memastikan kelancaran aktiviti seharian kita.
Tidak dinafikan ruang ini paling lembap memandangkan fungsinya banyak membabitkan penggunaan air. Jika tidak dijaga dengan betul dan dibersih secara berkala ruang ini akan menjadi tidak selesa dengan kehadiran lumut, kulat hitam.
Mengelakkan itu berlaku, kita perlu sedar mengenai penjagaan kebersihan dan penampilan bilik air yang bersih. Sikap memainkan peranan penting kerana walaupun kemasan dan kelengkapan mahal digunakan tetapi sikap pengguna tidak tahu menjaga kebersihan akan menyebabkan bilik air cepat kotor dan rosak.
Merancang bilik air yang baik
Bilik air baik, mampu menenangkan selain kebersihan dan kelengkapan berfungsi dengan baik. Dalam merancang ruang ini, bilik air seharusnya melambangkan keperluan individu itu sendiri sama ada keluarga kecil atau keluarga besar kerana keperluan setiap mereka berbeza.
Dalam rumah kediaman standard, biasanya menyediakan sekurang-kurangnya dua bilik air. Satu bilik air biasanya terletak di dalam bilik tidur utama dan satu lagi bilik air dikongsi bersama seisi rumah.
Bagi rumah kediaman yang besar pula akan menyediakan bilik air pada setiap bilik tidur dan menyediakan bilik air tetamu. Tidak kira berapa banyak bilik air yang ada pada rumah, anda seharusnya bijak dalam merancang keperluan bilik air supaya segala kelengkapan asas diperlukan disediakan, mudah diselenggarakan dan bersih persekitarannya.
Author: Syd Time: 25-11-2007 15:36
Perabot rotan makin eksklusif
Oleh Norakmah Mat Youb
norakmah@nstp.com.my
Set mahal di taman tidak digalakkan kerana cita rasa sering berubah
JIKA sebelum ini rotan dianyam menjadi bakul, sofa dan meja kopi tetapi hari ini, produk daripada rotan dipelbagaikan termasuk sebagai perabot taman. Lebih menarik, produk dihasilkan juga lebih bernilai komersial dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Meskipun pelbagai jenis perabot taman berkonsepkan moden berada di pasaran, masih ramai berminat terhadap barangan diperbuat daripada rotan kerana ia kelihatan unik dan menarik.
Pengurus, Rattan Decor, Brandon Lim, berkata pelbagai jenis bahan boleh digunakan untuk dijadikan perabot laman. Ia bergantung kepada pemilik yang mahu mengetengahkan konsep rekaan perabot, dapat disesuaikan mengikut konsep laman.
Beliau berkata, perabot laman disediakan untuk kegunaan di laman atau taman. Ia melengkapkan sesuatu ruang laman sekali gus menjadikan ruang berkenaan sedia digunakan.
"Perabot laman boleh diperbuat daripada kayu, rotan, buluh, besi atau keluli, seramik, gentian kaca mahupun konkrit. Paling penting ia dapat digunakan dengan sepenuhnya," katanya.
Dengan adanya perabot laman, katanya, ia kelihatan hidup dan indah untuk dihayati pengguna. Perabot berseni ukiran atau reka bentuk unik hasil budaya sesuatu kaum, menjadikannya sesuai dengan karakter konsep laman.
"Pengguna tidak perlu risau kerana ada pelbagai jenis perabot sesuai mengikut konsep dan keluasan taman. Antara yang paling mendapat permintaan tinggi ialah perabot rotan kerana bentuknya unik," katanya.
Brandon berkata, perabot rotan paling laris kerana kebiasaannya kombinasi rotan dan besi menjadikan ia nampak serasi apabila digandingkan dan diletakkan di laman.
"Perabot rotan di sini berbeza dengan syarikat lain kerana ia direka khas dan memiliki keunikan dari segi reka bentuk dan warna. Penghasilannya pula mengambil masa lama dilakukan secara teliti bagi memastikan mutunya terpelihara," katanya yang mempunyai dua bilik pameran di Kampung Baru Subang dan Plaza Ampang City.
Beliau berkata, untuk memilih perabot laman, sebaiknya ia perlu tahan panas dan hujan. Material pula hendaklah tidak menyerap haba bagi mengelakkan hanya boleh digunakan pada waktu tertentu saja.
Katanya, set perabot rotan untuk taman dijual dengan payung sekali bagi memudahkan pengguna meletakkan di mana saja kawasan yang dikehendaki tanpa perlu pening kepala memikirkan sama ada hujan atau panas.
Beliau berkata, perabot laman banyak bergantung kepada konsep dan kemampuan kewangan pemiliknya. Pemilihan perabot yang mudah diperoleh dan diganti sangat digalakkan bagi mengelakkan pembaziran.
"Kebiasaannya perabot sedia dijual berharga lebih murah dan mempunyai pelbagai pilihan menarik. Pembelian perabot pada harga mahal tidak digalakkan kerana cita rasa pengguna sering berubah mengikut peredaran zaman," katanya.
Bagaimanapun katanya, ketahanan perabot rotan yang diletak di taman bergantung kepada penjagaan. Berikutan itu, Bradon mencadangkan perabot berkenaan diletakkan di bawah lindungan payung, gazebo atau bumbung.
Tip memilih perabot laman
Bahan untuk perabot laman sebaiknya tahan panas dan hujan kerana kebiasaannya ia diletakkan dalam laman tanpa bumbung .
Bahan perabot juga hendaklah yang tidak menyerap haba panas bagi mengelakkan hanya boleh digunakan pada waktu tertentu saja.
Ukiran pada perabot hendaklah harmoni antara satu sama lain supaya sejuk mata memandang.
Saiz dan ukuran serta kuantiti perabot hendaklah bersesuaian dengan saiz keluasan keseluruhan laman yang ada bagi mengelakkan laman kelihatan berserabut dan padat.
Author: Syd Time: 25-11-2007 15:38
Panduan panjangkan hayat perabot laman
LANDSKAP taman lebih menarik jika diletakkan perabot sesuai. Pemilihan perabot pula banyak bergantung kepada kewangan pemilik selain kesesuaian konsep taman yang cuba ditonjolkan dengan keluasannya.
Hujan, panas terik berpanjangan, cuaca lembap menyebabkan perabot taman tidak tahan lama biarpun harganya mahal, berjenama serta berkualiti. Bagaimanapun, pemilik boleh memanjangkan hayat perabot taman di samping sentiasa cantik.
Sebelum membeli perabot buluh atau rotan, tanyakan kepada penjual jenis rotan atau buluh yang sesuai dan tahan jika mahu diletakkan di laman rumah.
Bagi memastikan perabot tidak nampak kusam, cuci sekerap mungkin dengan kain bersih yang disembur dengan pengilat perabot. Gunakan penyapu debu diperbuat daripada bulu burung untuk menghilangkan debu di celah rotan yang sukar dibersihkan menggunakan tangan.
Tempat paling sesuai untuk perabot rotan ialah di beranda kerana perabot jenis ini menyerap air dan tidak tahan lama jika selalu basah. Elak meninggalkannya di laman ketika hujan.
Jika mahu menikmati hidangan di tengah laman, boleh mengubahnya ke luar pada hari yang sederhana panas tetapi simpan kembali ke tempat teduh seperti beranda. Pancaran cahaya matahari yang berterusan akan melunturkan warna asal rotan atau buluh.
Begitu juga dengan kusyen kerusi rotan. Simpan setiap kali tidak digunakan dan jangan sekali-kali didedahkan kepada kelembapan atau kekotoran kerana air dan kotoran mempercepatkan lagi pereputan kusyen.
Selain perabot rotan atau buluh perabot kayu dan besi juga boleh dijadikan perabot taman. Pastikan jenis kayu itu sesuai atau tidak untuk kegunaan di luar rumah.
Biasakan menutup perabot kayu dengan plastik atau kain penutup debu pada setiap malam atau pada panas terik. Setiap enam bulan, sapukan dengan lapisan varnis supaya nampak berseri selalu.
Selain itu, cara mudah untuk menahan pancaran terus matahari ialah dengan menggunakan payung besar tetapi apa yang sering berlaku ialah payung itu terbiar dan tidak dibasuh sehingga terlalu kotor.
Apa yang perlu dilakukan ialah basuh sekerap mungkin dengan memancutkan air ke atasnya. Tutup payung ketika hujan supaya tidak rosak dan buka semula untuk mengeringkannya.
Guna air sabun untuk membersihkan jejari payung. Selepas itu keringkannya sebelum menyapu lapisan pengilat lilin untuk menghalangnya daripada berkarat dan memudahkan payung itu dibuka atau ditutup kelak.
Author: Syd Time: 17-12-2007 16:48
Panduan ringankan beban pindah
BERPINDAH ke rumah baru selalunya menjadi satu pengalaman pahit. Ketika itu, kepala berserabut hendak mengemas barang, perlu menyediakan banyak kotak, barang-barang pula perlu diberi perhatian sebaiknya mengikut jenis, barangan berharga, kaca, perhiasan mewah. Tidak cukup dengan itu, proses mengangkat dan memindahkan barang pula. Semua ini tidak akan memeningkan kepala jika tahu caranya. Berikut tip yang membantu meringankan masalah anda sebelum berpindah:
Mengemas
Sebaiknya tidak mencampurkan barang pada satu tempat sama bagi mengelak semak.
Elok jika buku diletakkan di dalam kotak buku, baju juga dikhususkan untuk kotak baju.
Jangan sesekali lupa menandakan kotak dengan kandungan barang di dalamnya untuk mengelakkan kekeliruan dan kerosakan barang ketika diangkat.
Barangan kaca perlu dibungkus dengan kertas bagi mengelakkan pecah dan terpelanting di dalam kotak.
Seeloknya, barangan berharga dan kaca dibawa sendiri dengan kereta bagi memastikan keselamatan dan menghindari daripada kerosakan.
Sebaiknya, peruntukkan masa lebih lama untuk mengemas barang jika merancang untuk berpindah.
Tindakan lebih awal dapat mengelak daripada kesuntukan masa dan penat. Buang atau beri kepada yang memerlukan barangan tidak perlu.
Asingkan barangan
Pisahkan setiap barangan mengikut kategori bersesuaian seperti barangan di dapur, ruang tamu, bilik tidur dan barangan elektrik.
Jika barangan perabot boleh diceraikan lebih elok berbuat demikian untuk memudahkan proses mengangkat dan penghantaran.
Lebih baik anda melakukan sendiri proses membuka barangan seperti perabot dan barangan elektrik untuk memastikan tidak rosak jika dilakukan orang lain.
Kategori barangan mengikut ruang yang bakal menempatkan sesuatu barang seperti lampu perhiasan di ruang tamu dan kipas di bilik tidur.
Keselamatan perabot
Bagi memastikan perabot seperti sofa tidak rosak atau kotor, bungkus dengan kain atau sarungkan dengan plastik.
No comments:
Post a Comment